Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penguatkuasaan Harga Kawalan Musim Perayaan Kaamatan, Gawai Lebih Lama – Hamzah

8:52am 17/05/2016 Pak Roshan 55 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

kpdnkk23

TAWAU :  Tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai membabitkan 13 barangan akan dikuatkuasakan selama 10 hari berbanding tujuh hari pada tahun sebelumnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pelaksanaan skim itu akan dikuatkuasakan dari 23 Mei hingga 1 Jun di Sabah dan 25 Mei hingga 3 Jun di Sarawak.

Beliau berkata skim kawalan harga berkenaan berkuat kuasa di seluruh Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada tujuh hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Antara barangan terbabit bagi Pesta Kamaatan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, kepak ayam, telur ayam Gred A, Gred B dan Gred C, daging kerbau import, bawang merah kecil, bawang putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

“Bagi Hari Gawai, barangan yang terlibat adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam Gred A, Gred B, Gred C, kubis bulat import, bawang putih (China), babi hidup, daging babi perut dan daging babi (daging dan lemak),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia Dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Hamzah berkata dengan penguatkuasaan skim harga kawalan berkenaan, peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barangan kawalan untuk membezakannya dengan barangan bukan kawalan.

“Peniaga juga digalakkan menjual barangan terbabit dengan harga lebih rendah daripada harga maksimum,” katanya.

Beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan skim itu.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, boleh dikenakan penalti sehingga RM100 ribu atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan menjual harga melebihi harga maksimum.

“Individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga kawalan pula boleh didenda sehingga RM10 ribu atau kompaun sehingga RM5,000,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan