Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,776

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penglibatan “agropreneur” muda dalam sektor pertanian diberi tumpuan

3:52pm 19/04/2016 Leolerry Lajius 28 views Laporan Sidang DUN,Tempatan

KOTA KINABALU:  Dasar Kerajaan dari segi penglibatan “agropreneur” muda dalam sektor pertanian di Sabah adalah tertumpu kepada pembangunan modal insan untuk golongan muda.

Menurut Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Hj. Sairin Karno, bagi tujuan ini beberapa program di bawah kementeriannya telah dirangka seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Pusat Latihan Pertanian Bersepadu (PLPB) Putatan, Pusat Latihan Petani (PLP), Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak serta Koperasi Pembangunan Desa melalui OISCA.

“Jabatan dan agensi kementerian saya telah dan sedang melaksanakan program untuk mengalakkan penglibatan golongan muda yang berumur 18 hingga 40 tahun untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang keusahawanan pertanian yang boleh menjana pendapatan bulanan RM3,000 sehingga RM8,000.”

“Seramai 47 orang pengusaha yang terdiri daripada golongan muda juga turut terlibat dalam mengusahakan TPKM Tawau yang bermula pada tahun 2010 serta TPKM Sungai Koyah dan Kinabatangan yang mula beroperasi pada tahun ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis yang bertanya apakah dasar kerajaan dari segi penglibatan “agropreneur” muda dalam sektor pertanian memandangkan sektor ini mempunyai potensi yang besar.

Selain itu, Pusat Latihan Belia KPD-OISCA juga diperkenalkan untuk melahirkan belia yang berkemahiran dan bersifat komersial dalam industri pertanian.

“Sejak program ini diperkenalkan pada Julai 2014, seramai 90 orang belia telah menamatkan kursus dan ketika ini seramai 60 orang perantis sedang menyertai program latihan.”

“Belia yang menamatkan latihan dengan trampil boleh melanjutkan latihan kemahiran di institusi kemahiran pertanian di Tahap 4 (setaraf diploma), melanjutkan  pelajaran di KPD-OISCA Jepun atau menjadi usahawan tani,” katanya.

Tambah beliau, Unit Agropreneur Muda (UAM) di bawah kementeriannya telah mensasarkan untuk melahirkan usahawan tani di kalangan orang muda yang bermatlamat untuk membolehkan mereka menjana pendapatan yang tinggi iaitu antara RM2, 500 hingga RM3, 500.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Pantai Manis yang ingin mengetahui tentang perkembangan TKPM Tawau, beliau berkata bahawa pelaksanaan program tersebut telah membantu peserta yang terlibat untuk menjana pendapatan yang lumayan.

“Status kemajuan pelaksanaan TKPM Tawau ini boleh dilihat melalui peningkatan jumlah pendapatan peserta yang terlibat iaitu RM478, 538.00 pada tahun 2011 kepada RM1, 404, 523.00 pada tahun 2015,”katanya.

TKPM Tawau dilaksanakan di Batu 15, Jalan Apas dengan keluasan 96 hektar dengan tanaman di 58 lot dan kos pembangunannya adalah bernilai RM12 juta dan kos penyelenggaraan sebanyak RM920, 000.00.-Oleh Leolerry Lajius/ Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan