Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,806

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penggunaan Vape, Rokok Elektronik Dilarang Di Kawasan Zon Bebas Asap Rokok

8:06pm 12/11/2015 Pak Roshan 163 views Isu Semasa,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

GEORGE TOWN : Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan menjalankan penguatkuasaan secara pendidikan terhadap pengguna vape dan rokok elektronik yang menghisap bahan itu di kawasan yang diwartakan sebagai Zon Bebas Asap Rokok di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Dr Zailan Adnan berkata tindakan undang-undang tidak boleh diambil ketika ini kerana tiada peruntukan khas bagi kesalahan menghisap ‘vape’ atau rokok elektronik di kawasan berkenaan.

“Jika dilihat tabiat menghisap ‘vape’ atau rokok elektronik sama seperti merokok dan sebagai langkah awal, kami akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan mendidik serta menasihati mereka agar tidak menghisap di kawasan larangan merokok di negeri ini,” katanya ketika melancarkan Promosi Kempen Pulau Pinang Bebas Asap Rokok Bersama Rapid Penang di sini, Khamis.

Iklan mengenai kempen Zon Bebas Asap Rokok di Pulau Pinang dipasang pada dua bas Rapid Penang dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya merokok dan asap rokok kepada orang ramai.

Beliau berkata pengguna vape dan rokok elektrik juga dinasihat agar prihatin terhadap kesihatan masyarakat dan tidak wajar menggunakannya di kawasan larangan merokok kerana aktiviti itu menyerupai tingkah laku merokok.

Dr Zailan berkata setakat ini, kawasan tapak Warisan Dunia George Town dan enam taman rekreasi iaitu Taman Perbandaran Pulau Pinang, Taman Botani, Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang diwarta sebagai kawasan Zon Bebas Asap Rokok.

Beliau berkata selain itu, kawasan Pantai Jerejak dan beberapa lokasi lain yang sedang dikenal pasti akan turut diwartakan pada tahun depan.

Mulai 1 Jan depan, individu yang didapati merokok di kawasan zon bebas asap rokok akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, katanya.

“Sehingga semalam, sebanyak 600 risalah mengenai kempen berkenaan telah diedarkan kepada orang ramai dan pasukan penguatkuasa kami turut menjalankan penguatkuasaan secara pendidikan dengan bertemu 800 orang bagi memberi penjelasan mengenai Zon Bebas Asap Rokok di Pulau Pinang,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan