Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penggunaan Vaksin Denggi Dijangka Bermula 2016 – Dr Subramaniam

veksindenggi

KUALA KUBU BAHARU — Penggunaan vaksin untuk mencegah penyakit denggi di Malaysia dijangka bermula pada 2016, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata tempoh dua tahun itu adalah disebabkan kementeriannya akan mengkaji semula data yang diperoleh berkaitan vaksin berkenaan.

“Vaksin itu hanya boleh digunakan secara umum bermula 2016. Kita (Kementerian Kesihatan) akan menggunakan tempoh ini untuk mengkaji balik data yang diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kesihatan Masyarakat India 1Malaysia di SJK(T) Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini vaksin itu didapati hanya memberi kawalan sebanyak 56 peratus sahaja.

“Kalau kita lihat pada kawalan vaksin itu terhadap empat stereotaip iaitu DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4, kawalan untuk DEN-2 tidak memuaskan iaitu hanya sekitar 35 peratus. Itu merupakan antara sebab kita perlu analisis data kajian itu supaya dapat membuat satu keputusan yang baik,” kata beliau.

Pada Jumaat lepas, sebuah syarikat swasta mengumumkan bahawa vaksin denggi yang dinanti-nantikan itu akan berada di beberapa buah negara.

Dr Subramaniam berkata jika vaksin itu berada dalam kawalan 80 peratus, barulah ia boleh diberi kepercayaan yang tinggi untuk kegunaan awam.

Sehubungan itu, kementeriannya tidak mahu terlalu begantung harap dengan vaksin itu sebaliknya akan terus melakukan aktiviti pengawalan secara keseluruhan.

Beliau menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang ramai untuk menjaga kebersihan di kawasan perumahan terutamanya kawasan titik panas denggi. “Kementerian Kesihatan tidak membersihkan sampah…Jadi kita mahu pihak berkuasa tempatan menjalankan kerja mereka dengan betul, bertanggungjawab supaya mereka dapat memastikan pembuangan sisa pepejal dilakukan dengan baik dan kebersihan kawasan sekitar diberi keutamaan,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan