Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,670

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pengguna Internet Di Sabah Lebih Titik Beratkan Kandungan Dalam Talian

12:36pm 02/06/2016 Pak Roshan 27 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
84112_komputer_di_ruangan_anggota_dpr_663_382

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Pengguna internet di Sabah didapati lebih banyak membuat aduan terhadap bahan kandungan yang mereka lihat di dalam talian daripada merungut mengenai tiada liputan perkhidmatan atau kualiti liputan yang tidak memuaskan.

Pengarah Kanan Sokongan dan Capaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar berkata kehendak pengguna internet di Sabah adalah unik berdasarkan pertumbuhan ketara jumlah pengguna internet di negeri ini.

Menurut beliau, 11.9 peratus daripada rakyat Malaysia ialah dari Sabah dan 7.9 peratus daripada keseluruhan pengguna internet di negara ini juga dari negeri ini, yang merupakan satu jumlah yang sangat tinggi.

Perangkaan suruhanjaya itu untuk Sabah pada tahun lepas menunjukkan 223 aduan diterima berkenaan kandungan internet, diikuti jenayah siber sebanyak 86 aduan, manakala liputan perkhidmatan yang tidak memuaskan sebanyak 61 aduan, katanya.

“Saya ingatkan (aduan di Sabah) lebih kepada kualiti liputan kerana keadaan muka bumi dan cabaran dalam menyediakan perkhidmatan, katanya dalam satu temu bual khas dengan Bernama, di sini baru-baru ini.

Eneng Faridah berkata 25 peratus daripada aduan mengenai kandungan adalah mengenai maklumat palsu atau mengelirukan dan 21 peratus mengenai kandungan lucah atau tidak senonoh.

“Malangnya, kandungan seperti ini melambak di internet,” katanya.

Berikutan aduan itu, beliau berkata SKMM akan menekankan bagaimana untuk memperkasakan pengguna bagi melakukan kawalan kendiri selain daripada melindungi mereka dan yang tersayang, terutamanya kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan internet yang tidak diingini itu.

“Kami bimbang orang ramai melihat isu mengenai kandungan dan apabila anda berada dalam talian isu itu boleh menjadi sangat besar.

Potensi untuk teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta internet adalah amat penting dan baik, dan adalah memalukan jika penggunaannya hanya dilihat kepada penyalahgunaan media sosial dan masyarakat tidak dapat bergerak ke hadapan,” katanya.

Eneng Faridah juga berkata pengguna internet perlu berhati-hati dengan apa yang mereka memuat naik di internet, sama ada komen atau kenyataan yang tidak menyenangkan.

Beliau berkata selalunya, pengguna terjebak di dalam perang kata-kata terhadap sesuatu kenyataan yang menyinggung perasaan mereka.

“Kita sebagai pengguna internet perlu bijak menilai. Kita perlu berhati-hati supaya tidak menyebar luas sesuatu yang tidak produktif,” katanya.

Eneng Faridah menasihatkan pengguna internet supaya memahami risiko jika mereka berada di dalam talian supaya mereka tahu bagaimana untuk mengurangkan kesan risiko yang dihadapi.

Beliau berharap pelbagai kempen dan usaha SKMM seperti program Klik Dengan Bijak (KDB) mampu mengubah sikap dan kelakuan pengguna internet supaya menjadi warga digital yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasaan dan Keselamatan Rangkaian SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk menghasilkan aplikasi saringan internet, terutamanya untuk kegunaaan ibu bapa memandangkan semakin ramai yang mengakses internet menerusi peranti boleh alih.

Beliau berkata pengguna internet boleh juga menghasilkan bahan kandungan yang positif dan aplikasi yang mampu melonjakkan ekonomi masyarakat.

Zulkarnain juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menjadi mangsa penipuan apabila berkawan dengan mereka yang tidak dikenali di internet.

“Ada orang Malaysia lurus bendul dan mudah mempercayai. Kita mesti kritis dan berhati-hati,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan