Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pengerusi JKKK, JKDB jarang hadir mesyuarat diminta beri penjelasan

jkkk

KINABATANGAN: Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Kuamut, Abu Bakar Gapar berkata mana-mana pemimpin yang menjadi mata dan telinga kepada kerajaan seperti Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar (JKDB) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) khususnya di kawasan ini akan diminta menunjukkan surat tunjuk sebab seandainya jarang menghadiri mesyuarat.

Menurut beliau dia tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana mereka yang menerajui badan berkenaan perlu memahami peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bukannya sesuka hati sehingga lalai menyebabkan tugas terabai.

Beliau berkata, untuk memastikan keberkesanan tugasan mereka maka pihaknya bercadang mengenakan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) agar setiap peranan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

Katanya, langkah ini amat penting supaya amanah yang dipikul tidak dipersia-siakan kerana menyedari khidmat JKDB dan JKKK menjadi jambatan kepada akar umbi untuk menikmati arus pembangunan.

“Kalau mereka memahami betapa besarnya tanggungjawab selaku JKDB dan JKKK ini bukan pula sesuka hati sehingga mengabaikan mesyuarat yang dijalankan.

“Selari dengan dasar pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) kita bercadang untuk mengenakan KPI kepada setiap pemimpin masyarakat yang menerajui kedua-dua badan berkenaan.

“Saya dapat tahu kononnya ada segelintir yang tidak hadir sesuatu mesyuarat yang sedang berlangsung. Justeru itu, saya selaku CDO Kuamut tidak akan berkompromi dalam hal ini,” jelasnya.

Abu berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pertama dan Bacaan Ikrar Taat Setia kepada Negeri Sabah oleh Pengerusi JKDB dan Pengerusi JKKK dalam Dun Kuamut yang baru dilantik di sini, kelmarin.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kinabatangan ini seterusnya memaklumkan bahawa wakil rakyat Kuamut iaitu Masiung Banah tidak pernah melupakan jasa dan perkhidmatan terbaik melibatkan mereka yang pernah menjawat jawatan sebagai JKDB dan JKKK.

Ini kerana, katanya, mereka juga banyak membantu pihak kerajaan terutama dalam konteks menyalurkan pembangunan kepada rakyat luar bandar yang membolehkan akar umbi mengecapi pembangunan.

“Banyak usaha yang mereka telah pertingkatkan sehingga membolehkan sesuatu kawasan di Kuamut telah menikmati kemajuan yang diingini rakyat selama ini.

“Oleh hal yang demikian, pertukaran jawatan tidaklah bermakna mereka tidak bagus cumanya mungkin ingin memberikan peluang kepada anak-anak muda yang mempunyai pendidikan tinggi.

“Tidak timbul soal kecil hati kerana gandingan lama dan baru akan terus disatukan demi kekuatan BN. Bagi menghargai segala jasa dan perkhidmatan selama ini, Wakil Rakyat Kuamatu, Masiung Banah bercadang untuk mengadakan Program ‘Jasa Mu’ Dikenang tidak lama lagi.

“Sehubungan ini, kita berharap sebagai pemimpin masyarakat akar umbi yang kini menerajui JKDB dan JKKK hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi sebab anda merupakan mata dan telinga kepada pihak kerajaan,” ujarnya.

Komen


Berita Berkaitan