Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,776

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pengertian Feminisme Dan Istimewanya Wanita Itu Dalam Islam

10:03am 16/11/2016 Zakir Sayang Sabah 8 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Dalam bahasa yang mudah ‘Feminisme’ merupakan kepercayaan kepada kesamaan hak antara jantina lelaki dan wanita dalam semua aspek kehidupan.

Feminisme juga merupakan himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang bertujuan membebaskan kaum wanita daripada diketepikan oleh lelaki.

Hal ini menunjukkan kesungguhan pihak tertentu demi meletakkan wanita setaraf dengan kaum lelaki dalam bidang sosial, politik, dan ekonomi.

Gerakan Feminisme ini juga dikendalikan berdasarkan keyakinan bahawa faktor jantina tidak seharusnya menjadi penentu yang membentuk identiti sosial atau hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang individu.

Pada tahun 1785 sewaktu zaman Pencerahan di Eropah, gerakan Feminisme dicetuskan buat pertama kalinya oleh Lady Mary Wortley Mantagu dan Marquis de Condorcet di Middelburg, Belanda. Namun, kata ‘feminisme’ diperkenalkan pertama kali oleh aktivis sosialis utopis, Charles Fourier pada tahun 1837 di Perancis. Gerakan ini juga telah melahirkan ramai feminis yang terkenal seperti Hillary Rose, Sandra Harding dan Evelyn Fox Keller.

Dalam perjuangan gerakan ini, Islamlah agama yang paling dikaitkan dengan peraturan yang dinilai sebagai mengongkong dan bersifat tidak adil dengan kaum wanitanya. Ternyata, para wanita Barat sangat salah dalam mentafsir bahawa golongan wanita Islam terkurung dan sangat tertekan dengan peraturan yang dijaga oleh Islam.

Barangkali mereka terlupa, dalam masyarakat Yunani hanya golongan wanita elit ditempatkan di istana dan wanita dari golongan bawahan dijadikan sebagai ‘barang’ jual beli; hamba sahaya.

Dalam peradaban Rom, kaum wanita sepenuhnya berada dibawah kekuasaan bapa mereka sehinggalah kekuasaan itu berpindah setelah wanita itu berkahwin.

Dalam tamadun Hindu dan China juga tidak memperlihatkan kedudukan golongan wanita di tempat yang mulia. Sehinggakan hidup seorang wanita yang kematian suami juga akan dibakar bersama-sama dengan mayat suaminya.

Begitu juga dengan kehidupan para wanita Arab Jahiliah yang sangat dipandang rendah dan hina. Sama dengan masyarakat Yahudi, kedudukan golongan wanita hanya disamakan dengan pembantu. Ada juga yang menganggap wanita sebagai senjata iblis yang menyesatkan manusia.

Apabila Islam datang, sekaligus melepaskan para wanita dari pemikiran dan tindakan yang tidak selayaknya. Islam memandang wanita sebagai mulia dan terhormat, serta memiliki hak yang disyariatkan Allah SWT. Islam bukan sahaja meletakkan persamaan wanita dengan lelaki, bahkan memberi lebih keistimewaan kepada kaum hawa ini.

Persamaan ini boleh dilihat melalui al-Quran dan sunnah yang secara keseluruhannya telah memberi hak dalam hal beribadah, keyakinan, potensi dan pendidikan tanpa ada apa-apa halangan atau berat sebelah.

“Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas, melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh, baik lelaki mahupun perempuan, sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.”

Al-Mukmim: 40

Bahkan, Al-Quran sangat memuliakan para wanita dengan terdapatnya sebuah surah yang sangat mengkhususkan kepada kaum wanita, iaitu surah an-Nisa yang mengaturkan hal pernikahan, keluarga dan kehidupan para wanitanya. Islam juga menetapkan hak, melarang pernikahan yang menganiaya wanita serta menetapkan tatacara perceraian yang adil dan tidak terbeban.

Selain itu, Islam memberikan beberapa hak lain kepada para wanita iaitu;

. Hak berpolitik
. Hak sivil
. Hak bekerjaya
. Hak berpendapat
. Hak belajar dan menuntut ilmu

Rujukan utama tentang layanan yang baik dan adil ini boleh dilihat melalui kehidupan Rasulullah SAW yang memperlihatkan para wanita ketika itu mendapat hak yang sama untuk menimba ilmu dan memberi pendapat. Bahkan atas permintaan mereka, Rasulullah bersetuju untuk memberikan waktu tertentu bagi mereka belajar dan berbincang dengan Baginda.

Ketika itu juga, para wanita turut terlibat dalam bidang perniagaan, keagamaan dan sosial bahkan turut serta sebagai pembantu di medan perang. Contohnya, Saidatina Aisyah yang juga seorang perawi hadis yang terkenal dan banyak para sahabat yang meriwayatkan hadis dari beliau.

Selain itu Islam tidak sesekali memandang peranan seseorang atau sesuatu jantina sebagai penentu kualiti seseorang seperti yang diperjuang oleh gerakan Feminisme Barat. Sesungguhnya setiap hamba manusia itu dinilai melalui ketakwaannya kepada Allah SWT. Sama ada kaum wanita atau lelaki, kedua-duanya adalah khalifah Allah di muka bumi yang ditugaskan untuk beribadah kepadaNya.

Sesungguhnya Islam mengasingkan kedua-dua jantina sebagai tuntutan fitrah dan tanda bahawa wanita muslimah adalah istimewa.

Islam telah mengangkat darjat kaum wanita sewaktu tamadun meletakkan peranan wanitannya di kaki. Lebih parah lagi sehingga kini ada lagi peradaban yang menjadikan para wanita seolah menjadi simbol seks dan sebagai pemuas nafsu yang langsung tiada nilainya.

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk masyarakat lain mengkaji ilmu dan budaya Islam dengan lebih mendalam agar apa-apa tanggapan negatif dapat dielakkan.

Manakala, sebagai umat Muslim seharusnya lebih memahami tentang konsep Islam mengenai kaum wanita. Kaum wanita bukanlah golongan yang wajar disingkirkan berikutan anggapan ‘kaum hawa adalah kaum yang lemah’. Sebaiknya kaum wanita dan lelaki itu haruslah saling melengkapi dan menghargai seperti fitrah yang diciptakan Allah SWT.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Rabiatul Adaweeyah)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan