Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pengendali kedai makanan, minuman dapat pengecualian SST

LIM Guan Eng – Foto BERNAMA

 

GEORGETOWN: Pengendali kedai makanan dan minuman di negara ini bakal menikmati dua pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuatkuasa Khamis ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia membabitkan penjualan rokok di kedai berkenaan yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 setahun.

Katanya, pengecualian itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas peniaga yang mahu nilai ambangan kedua-dua barangan berkenaan diasingkan kepada RM1.5 juta setahun bagi makanan dan minuman, manakala RM500,000 (rokok).

“Pengecualian SST ke atas penjualan rokok di kedai makanan dan minuman yang nilai ambangannya kurang daripada RM500,000 ini akan membantu peniaga mengurangkan bebanan mereka dengan barangan itu akan dijual pada harga sama di kedai lain.

“Kerajaan juga akan memberi pengecualian cukai kepada kadar sewaan gerai yang diusahakan dalam perkarangan kedai makanan dan minuman,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi Taklimat Pelaksanaan SST bersama Menteri Kewangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Sim Chee Keong; Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam dan EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Beliau berkata, kerajaan kini mempertimbang untuk memberi pengecualian cukai kepada pengendali sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan berpangkalan di luar kawasan Zon Industri Bebas (FIZ) yang memberi perkhidmatan kepada syarikat di kawasan berkenaan.

ORANG ramai yang hadir mendengar sesi Taklimat SST dari Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Hotel Eastin, Bayan Lepas. – Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

“Ini bagi memberikan insentif kepada sektor R&D tempatan dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0, sekali gus mampu meningkatkan tahap daya saing dalam kalangan pemain industri tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Guan Eng menggesa pemain industri pembangunan negara untuk memastikan harga jualan rumah di seluruh negara dapat diturunkan, selaras dengan pengecualian cukai yang diberikan ke atas bahan binaan.

“Kita mahu lihat hasil (penurunan harga jualan rumah) daripada pengecualian cukai yang diberikan kepada mereka. Kita tak mahu ada sebarang hasil negatif daripada pendekatan ini.

“Kerajaan juga akan memikirkan kaedah lain yang boleh dikenakan kepada mereka (pemain industri pembinaan negara) sekiranya harga jualan rumah masih gagal diturunkan selepas mereka tidak dikenakan SST,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya berharap kadar cukai korporat negara bagi Belanjawan 2019 dapat diturunkan, seiring dengan perubahan semasa dilakukan di negara jiran dan Amerika Syarikat.

“Ini akan membantu kadar pertumbuhan ekonomi negara dan ia perlu dilaksanakan mengikut kemampuan dengan setiap pertimbangan diguna pakai dalam merangka Belanjawan 2019 nanti.

“Bagaimanapun, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kaedah terbaik untuk mencari dana bagi melangsaikan hutang negara dan makluman mengenainya akan dibuat pada 2 November depan,” katanya. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan