Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pengembaraan Makanan Terulung Dalam “Oh My English: Road to Jogja!”

7:50am 02/12/2016 Leolerry Lajius 63 views Hiburan

KUALA LUMPUR: Bersempena dengan musim cuti sekolah yang bakal menjelang, Astro dengan bangganya mempersembahkan sebuah mega telefilem istimewa ‘Oh My English: Road to Jogja’ yang akan bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (Saluran 610), Astro Prima (Saluran 105) dan juga dalam definisi tinggi (HD) di Astro Maya HD (Saluran 135).

Istimewanya kali ini, ‘Oh My English: Road to Jogja’ akan menemui peminat setia siri edutainment popular itu menerusi dua bahagian, di mana ‘Oh My English: Road to Jogja Part 1’ akan bersiaran pada hari Sabtu, 3 Disember 2016, jam 9.00 malam manakala ‘Oh My English: Road to Jogja Part 2’ akan bersiaran pada hari Ahad, 11 Disember 2016 jam 9.00 malam.

‘Oh My English: Road to Jogja’ bakal menyaksikan kemunculan 3 teraju utama Oh My English, Zack (Juzzthin), See Yew Soon (Roax Tan) dan Mazlee (Zhafir Muzani) bersama beberapa selebriti terkenal yang akan memeriahkan perjalanan kedua-dua telefilem ini. Juara Super Spontan Superstar 2016, Johan Raja Lawak dan juga artis komedi wanita popular, Jihan Muse akan muncul dalam bahagian pertama telefilem ini di samping penyanyi dan komposer yang tidak asing lagi, Mark Adam.

Bahagian kedua telefilem ini pula akan menyaksikan kemunculan pelakon popular Indonesia, Randy Pangalila bersama Elfira Loy, di mana duo yang tidak asing di kaca TV sinema Malaysia ini akan digandingkan sekali lagi khas untuk peminat-peminat Oh My English!

‘Oh My English: Road to Jogja’ bahagian pertama mengisahkan perjalanan Zack, See Yew Soon dan Mazlee mencapai impian mereka bergelar chef dan pengusaha kafe berjaya. Setelah buntu mencari idea baru untuk melariskan kembali perniagaan kafe ‘After School’ mereka, mereka bercadang untuk bertanding di dalam sebuah pertandingan memasak peringkat antarabangsa di mana mereka bukan sahaja boleh memenangi wang tunai, tetapi juga mengembalikan reputasi perniagaan mereka.

Dengan bantuan Mr. A, mereka mengembara ke seluruh Malaysia untuk mengembalikan nama bersih kafe ‘After School’, menggunakan sebuah ‘food truck’. Dalam kekalutan itu, mereka bertemu Chef Bru (Mark Adam) yang dalam diam, ingin mengambil kesempatan terhadap mereka untuk kepentingan peribadi. Chef Bru memberikan tugasan mencabar, mengarahkan Zack, See Yew Soon dan Mazlee mencari 3 bahan rahsia; ayam hitam kaki satu, sos popia meletop dan rempah kari menangis. Sebagai tukaran beliau akan berkongsi rahsia masakan beliau.

Pelbagai perkara lucu, cabaran dan rintangan dihadapi tiga sahabat ini dalam pencarian penuh mendebarkan itu. Berjayakah ketiga-tiga bahan itu ditemui dan adakah mereka akan berjaya menawan kembali hati pelanggan mereka? Semuanya akan terjawab dalam bahagian pertama telefilem ini.

Bahagian kedua ‘Oh My English: Road to Jogja’ pula menyaksikan perjalanan Zack, See Yew Soon dan Mazlee membawa panji Malaysia dan kafe ‘After School’ dalam sebuah pertandingan masakan antarabangsa berprestij di Jogjakarta, Indonesia.

Setibanya mereka di sana, terdapat chef-chef handal lain yang turut sama mengambil bahagian termasuklah Jazlin lakonan Elfira Loy, seorang gadis dari Malaysia yang mahir menyediakan hidangan istimewa resipi turun temurun neneknya dan juga Maskor (Randy Pangalila), seorang jejaka Indonesia yang memiliki karakter yang aneh.

Dengan gelaran juara dan ganjaran tunai menjadi pertaruhan, mereka mencuba sehabis baik menampilkan persembahan dan kreativiti dalam setiap masakan mereka. Keadaan menjadi semakin pelik apabila beberapa kejadian tidak diingini berlaku dan seorang demi seorang chef yang bertanding mula ditimpa musibah. Adakah semua ini satu muslihat dan apakah yang akan berlaku di Jogjakarta? Dapakah Zack, See Yew Soon dan Mazlee merungkai misteri ini dan melepaskan diri? Semuanya dapat disaksikan di akhir telefilem ini.

Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Studios, Yasmin Yahya berkata, “Setelah lima tahun bersiaran, siri edutainment popular ini ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia. Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan sambutan berterusan yang diberikan kepada Oh My English daripada rakyat Malaysia khususnya.

“Musim terbaharu ‘Oh My English: After School’ juga telah berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila peminat setia kami terus memberikan maklumbalas positif mengenai jalan cerita menarik dan elemen pembelajaran Bahasa Inggeris yang dipaparkan dalam siri ini.”

“Kami terharu kerana Oh My English masih lagi mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan seperti biasa, telefilem yang dihasilkan merupakan penghargaan Astro buat semua yang telah menyokong siri ini.”

“Kali ini, telefilem yang mengangkat tema ‘persahabatan, misteri dan pengembaraan makanan’ ini bukan sahaja memaparkan telatah bersahaja wajah-wajah kesayangan anda, tetapi kami juga tampilkan nama-nama besar dua negara seperti Jihan Muse, Mark Adam, Johan Raja Lawak, Randy Pangalila serta Elfira Loy untuk menggeletek hati penonton sekeluarga. Namun di sebalik nama-nama besar, kisah komedi dan misteri yang dipaparkan, Oh My English masih mengekalkan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam telefilem ini,”katanya.

Telefilem arahan Umi Salwana Omar ini telah pun menjalani pengambaran di beberapa lokasi menarik di Semenanjung Malaysia seperti Ipoh dan Pulau Pinang. Selain itu, dalam mendapatkan ‘feel’ dan suasana yang bersesuaian dengan tajuknya, kru produksi serta para pelakon telah terbang ke bumi Jogjakarta untuk merakamkan beberapa babak utama di sana. Dalam mendapatkan sinematografi terbaik untuk membangkitkan ‘mood’ telefilem ini, peralatan yang diguna pakai juga diperhalus agar hasil akhirnya berjaya meninggalkan kesan buat penonton di rumah.
“Kami ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada penasihat kandungan bahasa Inggeris kami, British Council dan rakan produksi, Red Communications. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Xpax selaku Penaja Utama, juga Vitagen dan Malaysian Palm Oil Council (MPOC) selaku Penaja Bersama, atas sokongan serta kerjasama yang berterusan”, ujar Yasmin lagi.

Siri Oh My English! telah pun merekodkan lebih 21 juta tontonan di YouTube selain mempunyai jumlah pengikut hampir 900 ribu di laman media sosial yang lain seperti Facebook, Twitter dan juga Instagram serta impaknya dapat dilihat menerusi interaksi media sosial yang cukup aktif.

Peminat Oh My English! boleh mendapatkan berita terkini dan berinteraksi bersama rancangan ini melalui media sosial – sama ada di Facebook (Oh My English), Twitter (@Oh_My_English), YouTube (Oh My English!) atau Instagram (@ohmyenglish). Layari laman sesawang rasmi Oh My English!, www.ohmyenglish.com.my untuk maklumat lanjut.

Untuk rekod, Oh My English! telah pun bersiaran sejak tahun 2012 lagi dan rancangan edutainment ini pernah membariskan pelakon hebat seperti Zain Saidin, Allahyarham Harun Salim Bachik, Allahyarham Mohd Yusof bin Abdul Hamid (Mr. Os), Aaron Aziz, dan ramai lagi./SayangSabah

Barisan pelakon Oh My English.

Barisan pelakon Oh My English.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan