Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PENGARAH PENDIDIKAN SABAH ARAH TUTUP SEKOLAH JIKA DINAIKI AIR

kpm

KOTA KINABALU, 14 Jan : Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip mengarahkan pejabat pendidikan daerah di kawasan terlibat banjir menangguhkan sesi persekolahan buat sementara waktu jika ada sekolah dinaiki air.

“Ini bagi memastikan keselamatan kakitangan sekolah, guru-guru dan murid,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat kenaikan pangkat kepada 50 orang guru di Wisma Pendidikan di sini, hari ini.

Jame berkata setakat ini hanya tiga sekolah rendah di daerah Kudat terpaksa menangguhkan sesi pengajaran dan pembelajaran kerana dinaiki air berikutan hujan yang tidak berhenti sejak semalam.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Muhibbah, Sekolah Kebangsaan Lok Yuk dan Sekolah Kebangsaan Barambangon.

“Saya masih belum menerima apa-apa maklumat mengenai sekolah yang ditutup di Sandakan, Beluran dan Kinabatangan. Namun, sekolah yang menangguhkan sesi persekolahan pada hari ini perlu menggantikannya mulai Sabtu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jame mahu Kementerian Pendidikan memantau syarikat penerbitan buku yang menjual buku teks dan buku kerja sekolah bagi memastikan kandungan serta ilustrasi mengikut standard yang ditetapkan.

“Semua buku-buku kerja atau buku teks hendaklah ditapis juga dinilai terlebih dahulu (kandungan dan ilustrasi) supaya tidak bercanggah dengan tatasusila dan nilai-nilai murni kita di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kandungan sebuah buku kerja sekolah rendah yang memaparkan ilustrasi lelaki berkahwin dengan lelaki dan melahirkan zuriat, ketika membincangkan topik salasilah sesebuah keluarga.

Jame meminta guru besar di negeri ini melaporkan perkara itu jika penerbit dan pembekal buku dikenal pasti memandangkan gambar kandungan dan ilustrasi buku berkenaan telah tersebar di laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Sementara itu, sejumlah RM46,311,500 wang bantuan khas awal persekolahan telah dimasukkan ke dalam akaun sekolah rendah dan menengah di Sabah untuk diagihkan kepada pelajar yang layak menerima bantuan sebanyak RM100.

“Saya minta bantuan persekolahan ini diagihkan serta-merta dan pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diingatkan supaya jangan membuat sebarang pemotongan,” katanya.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan