Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,652

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penganjuran majlis rumah terbuka bagi semua perayaan digalakkan

11:19pm 15/01/2016 Elezebeth Esther Onjining 21 views Tempatan
Radin serta dif-dif jemputan bergambar dengan ahli-ahli Kelab Sukan Rekreasi Pejabat Daerah Tenom di majlis itu

Radin serta dif-dif jemputan bergambar dengan ahli-ahli Kelab Sukan Rekreasi Pejabat Daerah Tenom di majlis itu

KENINGAU- Kerajaan menggalakkan penganjuran majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan sesuatu perayaan itu agar ia menjadi landasan untuk mengukuhkan hubungan rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh berkata perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri Sabah amat penting untuk dipertahankan demi kestabilan dan pembangunan negeri serta kesejahteraan hidup rakyat.

Menurut Radin lagi, persefahaman yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum itu juga akan mematahkan usaha-usaha golongan tertentu yang ingin merosakkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Radin yang juga Adun Melalap berkata demikian di Majlis Jamuan Krismas dan Sambutan Tahun Baharu 2016 anjuran Kelab Sukan Rekreasi Pejabat Daerah Tenom bertempat di Hotel Perkasa Keningau pada Rabu lepas.

Disamping itu, majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian karaoke, persembahan koir oleh ahli-ahli Kelab Sukan Rekreasi Pejabat Daerah Tenom, sesi pertukaran hadiah Krismas serta cabutan bertuah.

Tegas Radin, penganjuran majlis jamuan Krismas itu membuktikan rakyat berbilang kaum terutamanya umat Kristian serta masyarakat bukan Islam bebas untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mereka di negeri ini.

“Sambutan perayaan Krismas amat signifikan bagi masyarakat Kristian untuk menghargai hari kelahiran dan peranan Jesus Kristus yang menjadi sumber kepercayaan dan asas iman mereka.

“Malah salah satu ajaran Jesus Kristus iaitu ‘sayangilah jiran anda seperti anda menyayangi diri anda’ juga mengingatkan kita agar sentiasa mengamalkan semangat kekitaan yang boleh menjana perasaan muhibbah dan mewujudkan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Radin yang juga Naib Presiden PBS menegaskan kestabilan politik itu adalah elemen penting bagi menjayakan pelaksanaan pelbagai program transformasi yang giat dilaksanakan oleh kerajaan.

Tambahan beliau lagi, kerajaan juga akan menilai semua maklum balas rakyat itu yang boleh membantu meningkatkan tahap perkhidmatan kerajaan.

“Kerjasama rakyat berbilang kaum dalam pelbagai sektor akan mengukuhkan perpaduan rakyat serta menggalakkan perkembangan sosioekonomi negeri Sabah.

“Sehubungan ini, penjawat awam terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar harus berperanan lebih proaktif serta rajin turun padang untuk memastikan kejayaan pelaksanaan program-program kerajaan itu,” katanya.

Beliau yakin aktiviti-aktiviti kelab sukan rekreasi itu akan meningkatkan hubungan dan prestasi para penjawat awam di pejabat-pejabat daerah berkenaan serta jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

Disamping itu, Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan berkata penganjuran majlis itu di Keningau adalah salah satu pembaharuan yang sedang dilaksanakan oleh kelab sukan rekreasi itu pada tahun ini.

Beliau menggesa ahli-ahli kelab berkenaan agar sentiasa bekerjasama bagi memastikan pencapaian matlamat dan kejayaan aktiviti-aktiviti kelab itu.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan dan isteri, Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi dan isteri, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Lucas Umbul, Datin Angelin Tom, Ketua Wanita PBS Melalap, Rosnah Ullap, para pemimpin masyarakat serta para pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah Tenom dan Pejabat Daerah Kecil Kemabong.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan