Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pengambilan Pelatih PLKN 2.0 Tahun Depan Dibuat Secara Sukarela

5:49pm 17/11/2015 Pak Roshan 121 views Mutakhir,Nasional

PLKN_2

SEPANG – Kaedah pengambilan pelatih Program Latihan Khidmat Cemerlang (PLKN) 2.0 pada tahun depan diberi nafas baru dengan pengambilan dibuat secara sukarela, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Sehubungan itu, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenalpasti pelajar yang tidak dapat menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi ditawarkan mengikuti PLKN.

“Pelatih yang berminat boleh menawarkan diri melalui portal dalam talian JLKN ataupun melalui kaunter pameran PLKN di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangka seramai 20,000 pelatih dari seluruh negara akan menyertai PLKN 2.0 mulai Mac tahun depan.

Jumlah itu akan melibatkan sebanyak 81 buah kem PLKN, katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan Projek Perintis Transformasi PLKN 2.0 di Kem PLKN Princess Haliza di sini.

“Manakala dari segi modul latihan kementerian saya telah bersiap-sedia dengan lapan modul baharu bagi melaksanakan PLKN 2.0,” kata beliau.

“Berikutan itu, pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan menjalinkan kerjasama dengan 10 kementerian dan telah mengenalpasti sebanyak 400 buah institut latihan kemahiran untuk menempatkan pelatih,” katanya.

Katanya, langkah ini sekaligus mampu membantu pelatih untuk menceburi bidang pekerjaan dan laluan kerjaya setelah tamat latihan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata transformasi yang dilaksanakan melalui modul-modul baharu PLKN ini mampu menyiapkan pelatih berdepan dengan cabaran masa depan.

Menurutnya, modul-modul yang diperkenalkan meliputi aspek kemahiran vokasional.

Projek Perintis Transformasi PLKN 2.0 telah dilakukan di Kem Princess Haliza, Sepang di sini bermula 17 Okt lepas dan akan berakhir pada 15 Dis depan.

Ia melibatkan 469 pelatih yang terdiri daripada 316 lelaki dan 153 perempuan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan