Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,787

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pengambilan pelajar antarabangsa di UMS selaras pelan Pembangunan pendidikan

6:40pm 24/11/2015 Dewiana Tinggolongon 100 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Pendidikan,Tempatan
Mohd. Harun Abdullah.

Mohd. Harun Abdullah.

KOTA KINABALU- Pengambilan pelajar antarabangsa oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah selaras dengan  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) yang menetapkan kuota sebanyak lima peratus bagi kemasukan pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Prof.Datuk Dr.Mohd Harun Abdullah berkata, di bawah dasar berkenaan UMS membuka peluang pengajian tinggi di peringkat ijazah sarjana muda hingga ke peringkat Doktor Falsafah kepada para pelajar daripada pelbagai negara.

“Syarat kelayakan masuk yang ditetapkan kepada pelajar antarabangsa ialah perlu mempunyai kelulusan International English Language Testing System (IELTS) atau  Test of English as a Foreign Language (ToEFL).

“Selain kelayakan akademik dari negara asal juga turut disemak dan disetarakan dengan kelayakan  mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan syarat minimum yang ditetapkan oleh fakulti di dalam UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini (Selasa) bagi meresponi perbincangan dalam Persidangan di DUN berhubung Pengambilan Pelajar Antarabangsa kelmarin.

Harun memberitahu, mereka yang tidak berpeluang untuk mengikuti IELTS atau ToEFL, UMS menyediakan kursus Intensive English Preparatory Programme (IEPP) selama tiga bulan sebelum mereka yang mencapai sekurang-kurangnya Gred B dalam peperiksaan.

Tambahnya, bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke Fakulti Psikologi dan Pendidikan; Fakulti Sains dan Sumber Alam, serta Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, satu sesi temuduga akan diadakan oleh fakulti itu.

Katanya ia  sebagai proses terakhir memastikan mereka benar-benar layak melanjutkan pengajian ke fakulti berkenaan.

Sebagai rekod, pelajar dari negara China yang memohon untuk melanjutkan pengajian ke UMS mempunyai kelulusan High School iaitu kelulusan yang diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) oleh MQA.

Menyentuh mengenai kelulusan UEC (Unified Examination Certificate), UMS tidak menerima sijil  itu sebagai salah satu syarat kemasukan memandangkan pelajar yang terbabit adalah warganegara Malaysia yang sepatutnya mengambil peperiksaan utama seperti SPM dan STPM.

“UEC juga tidak menepati syarat kemasukan ke universiti awam kerana  sistem pemarkahannya agak berbeza dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM.

“Kebanyakan pelajar tempatan yang mengambil UEC biasanya adalah mereka yang berhasrat  melanjutkan pengajian di universiti  luar negara seperti di Singapura,  dimana UEC diterima sebagai salah satu syarat kelayakan masuk,” katanya lagi.

Tambahnya, disamping mengeluarkan graduan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ditawarkan, UMS juga menggalakkan para pelajarnya untuk menguasai Bahasa Inggeris.

Katanya, ia diterapkan melalui pengajaran di mana sekurang-kurangnya 10 peratus kursus adalah diajar dalam Bahasa Inggeris. UMS juga menggalakkan mahasiswa untuk mempelajari bahasa-bahasa asing seperti Perancis dan Arab yang mana kursus-kursus ini disediakan melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa.

Menurutnya, UMS bukan sahaja diiktiraf sebagai salah sebuah universiti awam yang baik  dalam negara, malah negara lain seperti China, Iran, Turki dan Indonesia  juga turut mengiktiraf UMS sebagai sebuah institusi yang berupaya melahirkan graduan yang berkualiti.

“Ini terbukti melalui bilangan  pelajar daripada negara-negara berkenaan yang meningkat setiap tahun,”ujarnya.- Oleh Dewiana Tinggolongon / sayangsabah.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan