Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pengamal Media Jangan Kejar Publisiti, Jual Maklumat Tidak Tepat – Sapawi

 

Exco Penerangan Negeri Sabah Datuk Sapawi Ahmad.
Exco Penerangan Negeri Sabah Datuk Sapawi Ahmad

KOTA KINABALU : Pengamal media, khususnya di Sabah, diingatkan agar tidak mengejar publisiti dan menjual maklumat tidak tepat untuk tatapan pembaca, kata Exco Penerangan Negeri Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Beliau berkata bidang kewartawanan diakui penting dalam pembinaan negara bangsa, bagaimanapun, hasil penulisan berita yang tidak sahih mampu mencetuskan pergolakan dan meruntuhkan ketamadunan.

Sehubungan itu, katanya, setiap wartawan perlu sentiasa bertanggungjawab dan berpegang kepada etika kewartawanan dalam menghasilkan penulisan berita yang tepat serta berupaya melahirkan masyarakat berhemah, bermaklumat dan harmoni.

“Jadilah wartawan yang jujur, dinamis serta penegak keamanan, dan dalam masa sama berhati-hati agar tidak menjadi penyampai maklumat berita yang salah sehingga menimbulkan kekacauan.

Saya berharap para wartawan di Sabah sentiasa melihat sesuatu isu secara komprehensif, adil, mengambil kira kepentingan umum dan bukan daripada sudut sensasi,” katanya berucap pada Malam Anugerah Wartawan Muda di sini, Selasa malam.

Anugerah julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama Jabatan Penerangan Sabah dan Kumpulan Yayasan Sabah bagi mengiktiraf sumbangan media di negeri ini selain usaha menggalakkan wartawan muda menghasilkan berita bermutu dan berkualiti.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Pemangku Pengarah Penerangan Sabah Yunus Saprin.

Sapawi yang juga Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah berkata wartawan Sabah mempunyai peranan penting dalam menyebar luas maklumat agenda pembangunan negeri supaya rakyat mengetahui dan memahami setiap dasar dilaksanakan kerajaan.

“Ini penting bagi memastikan rakyat terus yakin dan memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan setiap rancangan dan pelaksanaan pembangunan,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan