Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,724

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pengalaman Sukar Dilupakan Lihat Helikopter Mendarat Cemas

11:50am 05/10/2016 Pak Roshan 1015 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menghulurkan sumbangan kepada Jaswin Jasmin, 17, pelajar SMK Balung yang cedera dalam kejadian sebuah helikopter TUDM Nuri yang mendarat cemas di bumbung sekolah itu malam tadi. - Foto Bernama

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid
menghulurkan sumbangan kepada Jaswin Jasmin, 17, pelajar SMK Balung yang cedera dalam kejadian sebuah helikopter TUDM Nuri yang mendarat cemas di bumbung sekolah itu malam tadi. – Foto Bernama

TAWAU – Insiden helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di atas bumbung dewan terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan oleh pelajar di sekolah itu.

Seorang daripadanya, Jaswin Jasmin, pelajar tingkatan lima sekolah itu yang merupakan antara pelajar yang cedera dalam insiden berkenaan.

Menurut Jaswin, dia tidak menyangka helikopter TUDM yang sering beliau lihat melalui kawasan udara sekolahnya melakukan pendaratan cemas, di hadapan matanya sendiri.

Ketika menceritakan insiden tersebut, dia yang tinggal di sebuah taman perumahan bersebelahan dengan kawasan sekolah berkata sebelum itu, dia bersama seorang lagi rakannya sedang makan di kantin yang ketika itu adalah waktu rehat.

Katanya pada mulanya dia mendengar bunyi bising dan selepas itu dia melihat sebuah helikopter jatuh di atas bumbung dewan terbuka yang masih dalam pembinaan, terletak bersebelahan dengan kantin.

“Saya kemudian berlari untuk menyelamatkan diri tetapi kepala saya dihentak besi menyebabkan saya tersungkur.

“Saya kemudian berasa pening dan terdapat darah di kepala sebelum dibantu oleh beberapa orang,” katanya ketika ditemui di sekolah itu selepas menerima sumbangan wang tunai daripada Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, malam tadi.

Menurutnya dia kemudian dihantar menerima rawatan di Klinik Kesihatan Balung dan dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Katanya dia kemudian dibenarkan keluar dari hospital disebabkan kecederaan dialaminya tidak serius.

Dalam pada itu, bapa Jaswin, Jasmin Adam, 57, berkata dia bersyukur anaknya terselamat dan hanya mengalami cedera ringan akibat insiden itu.

Menurutnya ketika kejadian dia dan isterinya berada di rumah, mereka ada mendengar bunyi kuat di kawasan sekolah.

Katanya dia kemudian dimaklumkan oleh beberapa penduduk di taman perumahan itu mengenai sebuah helikopter mendarat cemas di kawasan sekolah.

“Saya hanya mengetahui anak saya antara yang cedera selepas melibat gambar anaknya yang dalam keadaan cedera diviralkan,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di lokasi insiden pagi ini mendapati anggota TUDM sudah memulakan kerja siasatan dan membersihkan kawasan insiden.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Roslan Saad ketika melawat kawasan insiden semalam berkata tempoh dua hingga tiga hari diambil bagi kerja siasatan dan membawa keluar badan pesawat.

Insiden tersebut menyebabkan 22 orang cedera iaitu tiga belas anggota TUDM termasuk dua juruterbang dan seorang juruteknik, yang lain adalah lapan pelajar dan seorang pekerja pembersihan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan