Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Peneroka Felda Terima Dividen, Duit Raya RM88,8 Juta

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Program Ihya Ramadan Warga Felda yang di adakan di Felda Pasoh 4 hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Program Ihya Ramadan Warga Felda yang di adakan di Felda Pasoh 4 hari ini. – Foto BERNAMA

JELEBU – Sebanyak 98,688 peneroka Felda menerima durian runtuh menerusi pembayaran dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan duit raya berjumlah keseluruhan RM88.8 juta yang akan dibayar mulai 13 Julai ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata ia melibatkan pembayaran dividen FGV berjumlah RM59,212,800 serta duit raya RM29,606,400.

“Peneroka yang bersama Felda layak terima dividen sebanyak RM600 dan RM300 duit raya…yang tidak bersama Felda, tidak akan terima (dividen dan duit raya),” katanya ketika merasmikan program Ihya’ Rahmat Ramadan warga Felda peringkat kebangsaan di Felda Pasoh 4 di sini, hari ini

Turut hadir bersama kira-kira 5,000 peneroka ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Peneroka yang tidak bersama Felda ialah mereka yang tidak menanam semula bersama Felda atau tidak menghantar hasil ladang kepada Felda, berurus niaga tanah tanpa kebenaran dan menyaman Felda.

Dalam pada itu, Najib menyeru peneroka untuk terus bersama Felda dan menyokong segala usaha yang dilaksanakan agensi itu dalam meningkatkan pendapatan warganya.

“Kita perlu bersama Felda, jangan banyak sangat ragam, songel…sebenarnya yang mengelirukan orang Felda ini ialah orang yang datang (ke Felda), menjadi makhluk perosak, dialah yang meracuni fikiran sehingga kita buat yang baik pun mereka kata sebaliknya,” kata perdana menteri.

Beliau berkata Felda mempunyai pelbagai perancangan untuk menambah punca pendapatan sekalipun menghadapi kekangan dari segi faktor ketiadaan tanah untuk dimajukan sebagai ladang di negara ini.

Katanya FGV merancang membeli tanah seluas 420,000 hektar di Papua New Guinea yang mampu menjana hasil sekali ganda berbanding di negara ini, berdasarkan jenis tanah gunung berapinya yang subur.

Selain itu, katanya pihak FGV juga bercadang membeli 37 peratus ladang milik syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantation bernilai USD680 juta untuk pelaburan jangka panjang.

“Bagaimanapun, kita belum putuskan secara muktamad, kita mesti buat penilaian dahulu untuk tentukan harga terbaik, bila dah ada kata sepakat barulah kita buat keputusan muktamad…harap boleh buat keputusan tak lama lagi,” katanya.

FGV juga, kata Najib merancang memasuki pasaran Indonesia bagi memasarkan pelbagai produk Felda termasuk minyak masak.

Beliau berkata kesemua pelaburan itu jika berjaya dimuktamadkan dijangka mampu meningkatkan pendapatan warga Felda selain mengukuhkan saham FGV. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan