Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,683

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penerbangan Pertama Rayani Air Berlepas Pagi Ahad

12:54pm 20/12/2015 Pak Roshan 527 views Mutakhir,Nasional

rayani

SEPANG – Syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, Rayani Air, melancarkan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Pulau Langkawi kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Pengarah Urusannya Jaafar Zamhari berkata penerbangan RN0600 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, membawa kira-kira 150 penumpang termasuk 18 anak yatim dari Institut Taufik Islami, Klang serta petugas media.

Secara keseluruhannya, katanya beliau berpuas hati dengan kelancaran penerbangan itu walaupun terdapat sedikit kelewatan semasa proses daftar masuk penumpang.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi petugas. Mereka adalah petugas terlatih dan sebahagiannya telah mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan.

“Saya berharap segalanya berjalan lancar,” katanya kepada Bernama semasa ditemui sebelum penerbangan itu berlepas menggunakan pesawat Boeing 737-400.

Seorang penumpang, Ahmad Aiman Mohd Razali, 29, berkata beliau begitu teruja untuk mencuba penerbangan patuh syariah itu buat kali pertama.

Katanya harga yang ditawarkan syarikat penerbangan itu amat berpatutan memandangkan ia memberikan perkhidmatan penuh yang membezakan­nya dengan syarikat penerbangan lain.

“Dengan satu tiket, boleh dapat daftar masuk bagasi sebanyak 20 kilogram serta hidangan dalam pesawat. Setakat ini saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

Rayani Air menerima lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada Jumaat lepas.

Syarikat itu merupakan hasil usahasama dua perniagaan iaitu syarikat minyak dan gas, Merdeka Jayabumi Enterprise dan syarikat perlombongan, Terus Maju Metal. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan