Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penerbangan domestik dikenakan GST

gst

KUALA LUMPUR – Semua penerbangan domestik di negara ini bakal dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila sistem percukaian baharu itu dilaksanakan 1 April depan.

Pengarah Eksekutif Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd (Tams), Yong Poh Chye berkata, ia termasuk juga tiket penerbangan domestik yang turut terlibat dalam perlaksanaan GST kelak.

“Bagaimanapun, penerbangan ke luar negara, walaupun daripada syarikat penerbangan Malaysia, GST tidak akan dikenakan kerana GST hanya dikenakan di Malaysia sahaja,” katanya pada sidang media sempena Persidangan GST Kebangsaan 2014 yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong, di sini, semalam.

Poh Chye berkata, GST juga tidak akan dikenakan terhadap pengguna yang mahu membeli kediaman sendiri, kecuali jika ia melibatkan kedai pejabat rumah pejabat (soho) atau lot kedai kerana ia bersifat komersial.

Dalam pada itu, beliau berkata, GST merupakan sistem percukaian yang baik untuk dilaksanakan memandangkan ia membantu mengurangkan kadar cukai dan harga barangan yang lain.

“Sebagai contoh, cukai jualan kereta kini dikenakan pada kadar 10 peratus, namun selepas 1 April 2015, cukai itu hanya enam peratus dan harga kereta akan jadi lebih murah,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian dijalankan, kira-kira 57 peratus daripada harga barangan di pasaran akan turun selepas GST dilaksanakan, 37 peratus lagi akan mengalami kenaikan harga, manakala enam peratus barangan akan kekal harganya.

Beliau turut menjangkakan, kadar GST tidak akan dinaikkan dalam masa beberapa tahun selepas dilaksanakan.

“Lihat sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang digunakan sekarang. Cukai jualan diperkenalkan pada 1972 pada kadar lima peratus, namun kenaikan kadar cukai itu (naik kepada 10 peratus) hanya berlaku sekali sahaja sepanjang lebih 40 tahun ia dilaksanakan.

“Begitu juga dengan cukai perkhidmatan yang diperkenalkan pada 1975 (dengan kadar enam peratus) sehingga kini tiada kadar baharu. Jadi kadar GST tidak akan naik dalam jangka panjang kerana kerajaan akan kutip semua hasil itu dan cukai pendapatan persendirian serta individu akan dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Soo Heong berkata, Bernama dan Tams akan mengadakan Persidangan GST Kebangsaan 2014 pada 10 dan 11 Julai ini, di Hotel Hilton Kuala Lumpur bagi memberi pendedahan kepada pemain industri dan orang ramai tentang pelaksanaan sistem percukaian baharu itu.

Komen


Berita Berkaitan