Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PENERBANGAN AIRASIA KE CHENNAI DILENCONGKAN KERANA KABUS TEBAL

aa

NEW DELHI, 6 Jan : Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Chennai, Tamil Nadu ialah antara beberapa penerbangan yang ditunda dan dilencongkan ke bandar raya berdekatan kerana kabus tebal menyelubungi lapangan terbang di bandar raya selatan India ini hari ini.

Semakan data penerbangan mendapati bahawa penerbangan AK11, yang sepatutnya mendarat di Chennai pada 7.25 pagi waktu tempatan dilencongkan ke Colombo, Sri Lanka.

Pesawat yang membawa 168 penumpang itu kemudian mendarat dengan selamat pada 11.15 pagi waktu tempatan apabila jarak penglihatan bertambah baik.

“Keadaan kabus yang jarang berlaku itu telah mencetuskan situasi kelam-kabut di lapangan terbang Chennai selama beberapa hari. Bukan penerbangan AirAsia sahaja yang terjejas.

“Penerbangan yang ditunda atau dilencongkan ialah penerbangan yang dijadualkan mendarat atau berlepas dari pukul 6 pagi hingga 8 pagi hari ini,” kata seorang pegawai yang berpusat di lapangan terbang Chennai.

Keadaan kabus tebal ialah masalah biasa yang sering dihadapi oleh lapangan terbang di utara India semasa musim sejuk tetapi tidak di bandar raya di selatan India.

Ketika ditanya mengapa penerbangan dialih ke Colombo, pegawai itu berkata setiap lapangan terbang mempunyai ruang untuk menerima penerbangan yang dilencongkan dan biasanya lapangan terbang paling dekat akan dipilih.

“Ia merupakan amalan biasa dalam industri penerbangan,” katanya kepada Bernama.

Laporan Times of India pada Isnin berkata jarak penglihatan mula merosot pada tengah malam Sabtu sehingga 50 meter dan sejak itu beberapa penerbangan yang dijadualkan mendarat dan berlepas dari Chennai telah terjejas.

Ia memetik seorang pegawai dari Pejabat Meteorologi sebagai berkata bahawa kabus jarang berlaku di Chennai tetapi kondensasi air akibat tiupan
angin dari utara dan tahap kelembapan udara yang tinggi menjejaskan jarak penglihatan selama kira-kira lima hari dalam setahun pada dua minggu pertama Januari.

Justeru, keadaan yang serupa kemungkinan akan berterusan selama beberapa hari lagi, kata beliau. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan