Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penerapan Nilai Kasih Sayang Guru-pelajar Dapat Bendung Gejala Sosial

guru

SERI ISKANDAR: Penerapan nilai kasih sayang antara guru dan pelajar menerusi program berkonsepkan ‘Anak Angkat’ dapat membendung gejala sosial termasuk kes buli, kata Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh

Beliau berkata menerusi program itu, para guru dapat memupuk nilai kasih sayang kepada pelajar yang bermasalah dengan menterjemahkannya melalui bimbingan akademik dan kaunseling.

“Kasih sayang perlu dipupuk di sekolah di mana guru menjadikan pelajar yang nakal atau mempunyai masalah sebagai anak angkat mereka dan dengan adanya program tersebut pelbagai masalah termasuk kes buli antara pelajar dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian anugerah penajaan pendidikan Petronas di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Sejumlah 316 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia menerima biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

Turut hadir pada majlis itu Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Raiha Azni Abdul Rahman dan Naib Canselor UTP Ir Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

Idris memberi contoh beberapa buah sekolah di Besut, Terengganu yang memupuk nilai kasih sayang antara guru dan pelajar menerusi Program Ar Rahman Ar Rahim.

“Tinjauan saya mendapati apa yang mereka (pelajar) yang bermasalah ini mahukan asasnya adalah kasih sayang. Kasih sayang yang mereka mahukan perlu diisi oleh guru kerana terdapat ibu bapa yang tiada masa untuk anak-anak kerana mereka ini kurang berkemampuan dan perlu bekerja lebih kuat untuk mencari pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata kementeriannya akan meneruskan kerjasama dengan UTP agar modal insan di negara ini akan terus dibimbing sekali gus menjadikan Petronas sebagai ‘Juara Global’.

“UTP merupakan universiti hebat…modal insan di negara ini juga dibimbing bukan hanya untuk memastikan Petronas sebagai juara global malah bagi memastikan Malaysia sebuah negara yang hebat pada masa akan datang,” katanya.

 

Komen


Berita Berkaitan