Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,668

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penduduk Tinggal Dekat Hutan Simpan Diminta Waspada Elak Kebakaran

8:16pm 19/03/2016 Pak Roshan 27 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

SANDAKAN : Jabatan Perhutanan Sabah meminta penduduk yang tinggal berdekatan dengan Hutan Simpan Kekal untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah penting dalam memastikan tiada insiden kebakaran hutan yang boleh memusnahkan khazanah hutan negeri itu.

Menerusi portal rasmi jabatan berkenaan, masyarakat yang tinggal berdekatan Hutan Simpan Kekal diminta untuk tidak melakukan pembakaran terbuka kerana aktiviti tersebut boleh menyebabkan kebakaran hutan.

“Sebagai peringatan, aktiviti seperti pemburuan haram, penanaman pindah-randah dan pembangunan tanah berdekatan dengan Hutan Simpan Kekal juga merupakan antara faktor utama yang telah dan akan menyebabkan kebakaran hutan,” kata jabatan itu.

Jabatan itu juga menasihatkan kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan Hutan Paya Gambut seperti di kawasan Hutan Simpan Binsuluk, Klias dan Kuala Abai yang masing-masing terletak di daerah Beaufort dan Kota Belud melakukan langkah pencegahan yang sempurna.

Ini kerana berdasarkan kejadian yang berlaku sebelum ini, kebakaran hutan di kawasan hutan paya gambut adalah sangat sukar untuk dipadamkan.

Jabatan Perhutanan Sabah turut mencadangkan kepada semua pemegang Lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) supaya mengambil langkah untuk mengekang kebakaran hutan di kawasan mereka.

Langkah tersebut membabitkan rondaan intensif ke kawasan yang berisiko tinggi kebakaran hutan, memastikan semua peralatan memadam kebakaran beroperasi dengan betul dan menjaga kawasan Hutan Simpan daripada pemburu haram.

Jabatan itu mengingatkan sesiapa sahaja yang disyaki melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan kebakaran di Hutan Simpan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 19 Enakmen Hutan 1968 dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Jabatan Perhutanan Sabah meminta kerjasama semua lapisan masyarakat untuk melaporkan kepada mana-mana pejabat jabatan itu yang berhampiran jika terdapat sebarang kejadian kebakaran hutan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan