Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penduduk Pulau Mantanani bakal terima gelombang kedua pembangunan

CANTIK... Pemandangan indah di salah satu kawasan pantai Pulau Mantanani yang mampu menarik kehadiran pelancong. - foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah
CANTIK… Pemandangan indah di salah satu kawasan pantai Pulau Mantanani yang mampu menarik kehadiran pelancong. – foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah

PULAU MANTANANI (Kota Belud) – Masyarakat penduduk di Pulau Mantanani bakal menerima gelombang kedua pembangunan apabila pelbagai projek bernilai RM20.5 juta sedang dirancang untuk dilaksanakan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, antara yang pembangunan yang dirancang untuk dilaksanakan oleh kerajaan ialah termasuk projek Rumah Mampu Milik yang bernilai RM18 juta.

“Rumah Mampu Milik tersebut yang akan dijual dengan harga RM42,000 seunit itu mempunyai keluasan yang mampu memberi keselesaan setiap keluarga di pulau ini,” katanya semasa berucap di majlis Kempen Keselamatan Kebakaran peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut diadakan di majlis itu ialah pengagihan alat pemadam api kepada 155 buah rumah penduduk serta masing-masing sebuah klinik, surau dan sekolah rendah.

Namun, beliau berkata, penduduk yang ingin membeli rumah berkenaan perlu mematuhi syarat iaitu tidak boleh menjual kepada orang lain dalam tempoh masa 10 tahun.

“Sekiranya ada penduduk yang tidak mampu, mereka juga mempunyai pilihan dengan menyewa rumah terbabit dengan kadar RM120 sebulan daripada Pejabat Daerah,” katanya lagi.

Beliau juga berkata Pulau Mantanani berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu pulau pelancongan terkenal di Sabah.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menyediakan peruntukan RM2.5 juta bagi membina landskap menarik di pulau tersebut.

Menurutnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mengenalpasti kemudahan pelancongan yang diperlukan di Pulau Mantanani.

“Kerajaan akan bina sebuah jeti pelancongan di bahagian barat pulau ini untuk memudahkan kemasukan pelancong asing dan tempatan ke pulau berkenaan,” tambah beliau.

“Ia sekaligus mampu membantu meningkatkan hasil pendapatan ekonomi penduduk di sini,” katanya.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan