Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,761

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penduduk Kampung Airport Kunak Sepakat Kibar Jalur Gemilang Di Setiap Rumah

11:21am 23/08/2016 Pak Roshan 620 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan

bendera bendera2

KUNAK : Kesemua 125 buah rumah di Kampung Airport Batu 10 di sini memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai cara tersendiri penduduk menghargai erti kemerdekaan.

Ketua Kampung itu, Omar Satuman, 66, berkata beliau bertanggungjawab dan akan memastikan setiap rumah di kampung itu memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah.

“Sebagai ketua kampung, saya perlu memantau setiap rumah bagi memastikan mereka mengibarkan Jalur Gemilang kerana ini adalah salah satu cara kita meraikan serta menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi selama 59 tahun.

“Setiap pemilik atau penghuni rumah di kampung memberikan kerjasama baik untuk memasang Jalur Gemilang dan bendera Sabah,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya ada penduduk sanggup membeli sendiri Jalur Gemilang dan bendera Sabah bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Kebangsaan serta menunjukkan rasa cinta kepada negara.

Katanya sebahagian lagi penduduk menerima Jalur Gemilang yang diagihkan oleh Pejabat Daerah Kunak.

Bagi Omar sendiri, beliau menyifatkan tarikh 31 Ogos mempunyai sejarah yang sangat berharga untuk diingati rakyat Malaysia dan menzahirkan rasa kesyukuran dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Saya sempat merasai zaman pemerintahan British dan bersyukur kini negara kita sudah bebas daripada sebarang penjajahan dan mempunyai kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya yang menjadi ketua kampung itu sejak Mac tahun lepas.

Beliau berkata menerusi kempen mengibar Jalur Gemilang di kampungnya, dapat mengajak generasi muda untuk sama-sama meraikan hari yang paling bersejarah buat negara.

Omar yang telah menetap hampir 21 tahun di kampung ini berkata program mengibar Jalur Gemilang di setiap rumah akan dijadikan acara tahunan selagi beliau menjawat jawatan ketua kampung.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan