Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penduduk Felda Gugusan Umas bimbang air kegunaan harian tercemar

sungai umas tercemar

TAWAU: Kira-kira 5000 penduduk Felda Gugusan Umas di sini dihantui kebimbangan selepas air kegunaan harian tercemar apabila berbau hanyir dan terdapat ribuan bangkai ikan terapung di Sungai Mas-Mas yang menjadi punca utama air.

Sehubungan itu mereka menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera sebelum masalah lain timbul khasnya melibatkan masalah kesihatan penduduk terjejas.

Menurut Ketua Kampungnya, General Linjal memberitahu masalah air berbau hanyir tersebut telah dialami sejak lima hari lepas dan paling kuat berbau pada kelmarin.

“Sudah lima hari dan kita lakukan pemeriksaan di sungai dan hasilnya banyak bangkai ikan terapung, ini sangat membimbangkan takut masalah lain pula akan timbul,’’katanya ketika hadir ke Pejabat New Sabah Times di sini kelmarin.

Jelasnya, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai perkara tersebut dan berharap tindakan lanjut akan dapat diambil dengan segera.

Sungai berkenaan katanya sangat penting kepada penduduk kerana ianya menjadi punca utama air untuk keperluan harian dan pencemarannya dikatakan berpunca daripada sebuah kilang berdekatan yang telah beroperasi sejak tahun 2005.

“Penduduk berasa bimbang mengenai senario berkenaan kerana air sungai itu sahaja punca kehidupan dan penduduk risau air itu akan mudaratkan kesihatan penduduk kampung,’’katanya lagi.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Rusdan Jamas, 56, berkata, penduduk mengharapkan tadahan air hujan dan air yang ditakung di dalam tangki di rumah untuk kegunaan minum dan makan ekoran kejadian air berbau hanyir.

“Penduduk sudah risau takut masalah air ini disebabkan oleh punca lain yang akhirnya boleh membawa maut atau sebagainya,’’katanya.

Dalam pada itu Ketua Cawangan JAS Tawau, Shazly Ab Rahim ketika dihubungi mengesahkan telah menerima aduan daripada penduduk di kampung berkenaan.

Katanya, pihaknya akan ke kawasan sungai tersebut untuk mengambil sampel air dan bangkai ikan untuk tindakan segera bagi mengenal punca sebenar air yang dimaksudkan penduduk.

“Kita juga akan memantau samada berlaku kebocoran atau pencemaran yang disebabkan racun perosak atau bahan kimia lain melibatkan saluran paip atau loji air untuk kegunaan penduduk,’’katanya.

Komen


Berita Berkaitan