Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,746

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penduduk Brumas Bimbang Ancaman Gajah Liar

3:17pm 10/11/2016 Pak Roshan 1300 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

gajah

TAWAU : Penduduk ladang perkayuan Brumas berasa bimbang selepas kejadian suami isteri warga Indonesia diserang dan dipijak seekor gajah liar, pagi semalam.

Bagi Mustapha Untai, 53, yang telah menetap di Brumas selama 33 tahun itu cukup resah dengan kejadian yang berlaku dan berharap pihak berkuasa segera menangani masalah kehadiran gajah di kawasan ladang.

“Meskipun pertama kali berlaku kejadian serangan gajah ini, saya dan rakan-rakan yang menetap di kawasan ini bimbang sekiranya tidak ditangani segera kemungkinan ada serangan lain.

Sebelum ini pun, kehadiran haiwan liar ini menyebabkan kami penduduk di sini takut untuk bersendirian masuk ke kawasan blok ladang dikhuatiri diserang gajah liar dan semalam perkara itu betul berlaku,” katanya kepada Bernama di sini,hari ini.

Katanya, setiap kali masuk ke blok ladang bersama rakan-rakan pasti akan menemui kesan tapak baharu gajah.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk di Ladang Perkayuan Brumas rata-rata senada dengan Mustapha yang melahirkan keresahan dengan ancaman amukan haiwan liar itu selain merosakkan tanaman di sekeliling kawasan ladang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga ketika dihubungi berkata, sepasukan kakitangan Jabatan Hidupan Liar Tawau telah ke lokasi untuk menyiasat dan meningkatkan kawalan selepas insiden serangan yang berlaku.

“Laporan awal, gajah tersebut iaitu seekor gajah jantan ini tidak diganggu tetapi telah menyerang dan mencederakan pasangan suami isteri itu.

Difahamkan lagi selepas menyerang pasangan itu, gajah itu turut menyerang pemandu lori yang cuba membantu namun serangan kedua ini kami masih cuba dapat pengesahan,” katanya lagi.

Menurutnya, selepas aduan diterima semalam dan sehingga kini pasukan jabatan di Tawau sedang mencari haiwan liar itu dan masih tidak ditemui.

“Kita akan lihat keadaan kalau dapat pindahkan kumpulan gajah ini, atau kalau dapat kita cuba halau masuk ke dalam hutan yang jauh dari perkampungan penduduk,” katanya.

Augustine berkata, perkara itu masih dalam penelitian pihaknya dan sekiranya gajah liar ini akan mendatangkan bahaya lagi kemungkinan haiwan itu terpaksa dimatikan demi keselamatan penduduk.

Mengulas mengenai tingkah laku gajah tersebut, katanya terdapat kemungkinan gajah itu menyerang manusia kerana tidak dapat keluar ke hutan besar dan berada di kawasan tersebut bagi tempoh lama.

Semalam, sekitar pukul 6.15 pagi dilaporkan sepasang suami isteri warga Indonesia cedera apabila diserang dan dipijak seekor gajah liar yang tiba-tiba mengamuk di kawasan ladang perkayuan Brumas.

Kedua-dua mangsa yang merupakan pekerja ladang itu dikenali sebagai Santoko Satria, 44, mengalami cedera ringan manakala isterinya Susi Sudirman, 36, cedera parah dibahagian badan, tulang rusuk serta muka selepas dipijak gajah itu dan kini masih dirawat di Hospital Tawau.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan