Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,820

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penduduk Bimbang Runtuhan Lereng Bukit Di Taman Indah Jaya Belum Dibaiki

7:03pm 20/04/2016 Pak Roshan 287 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

taman

SANDAKAN : Setiap kali hujan lebat, Mohd Fauzi Indera sekeluarga bimbang akan keselamatan mereka berikutan kesan runtuhan lereng bukit di belakang rumah mereka di Taman Indah Jaya dekat sini.

Runtuhan itu berlaku pada 2009, namun sehingga kini tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib bagi membina tembok penghadang runtuhan di lereng bukit itu.

Mohd Fauzi, 25, berkata mereka sekeluarga tiada pilihan lain dan terus tinggal di rumah itu biarpun menyedari risiko keselamatan yang dihadapi disebabkan runtuhan itu.

Katanya semasa kejadian tanah runtuh pada tahun 2009 itu, ia telah menyebabkan kerosakan pagar di belakang rumahnya di Blok 30 taman perumahan itu.

“Sejak kejadian itu, saya bersama penduduk di taman perumahan ini telah meminta pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk mengatasi masalah ini dengan membina tembok penghadang lereng bukit.

“Namun, sehingga hari ini, belum ada sebarang tindakan diambil dan kami terus berasa bimbang mengenai keselamatan setiap kali berada di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya pada perjumpaan penduduk taman perumahan dengan agensi kerajaan terlibat dan anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin pada Khamis lepas tidak menemui sebarang keputusan.

Seorang lagi penduduk di taman tersebut, Suriana Amin, 49, berkata mereka sekeluarga juga bimbang setiap kali hujan lebat turun kerana khuatir kejadian serupa akan berlaku lagi berhampiran rumahnya.

“Lebih membimbangkan ialah keselamatan ibu saya yang tinggal sendiri di rumah jika saya dan anggota keluarga lain keluar bekerja,” katanya yang bekerja sebagai seorang guru.

Pada Khamis lepas, seramai 52 pemilik rumah di taman perumahan itu mengadakan perjumpaan dan dialog bersama wakil dari Jabatan Kerjaya Raya, Majlis Perbandaran Sandakan dan anggota Parlimen Batu Sapi.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Vincent Chua dalam taklimatnya memberitahu pembinaan tembok penghadang adalah cara terbaik menghindari tanah runtuh yang membabitkan kos RM36 juta meliputi kawasan sepanjang 1.52 kilometer.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan