Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penduduk Bersyukur Dapat Balai Bomba Baharu

KIMANIS, 8 Ogos : “Syukurlah sebab kerajaan membina sebuah balai bomba di Kimanis ini,” demikian kata Montenance Jakaria, 33, yang nyata gembira melihat balai bomba yang dibina tidak jauh dari kediamannya.

Dia berkata kemudahan itu sememangnya akan memberi manfaat yang banyak kepada penduduk Kimanis dan kawasan sekitar.

“Dengan adanya balai bomba ini, jika ada kejadian kecemasan seperti kebakaran, pihak bomba boleh tiba di lokasi dengan lebih cepat,” katanya kepada Bernama.

Montenance yang juga peniaga restoran berkata, selama ini penduduk Kimanis hanya bergantung kepada balai bomba dari pekan Papar dan Beaufort jika berlaku sebarang kejadian kecemasan.

“Sememangnya balai bomba amat diperlukan di kawasan Kimanis ini kerana banyak aktiviti pembangunan berlaku di sini. Sebagai contoh Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) berada di sini,” katanya.

Seorang penduduk tempatan, Latifah Linaki, 59, pula berkata, pembinaan sebuah balai bomba di Kimanis sememangnya telah lama mereka tunggu dan dengan siapnya balai bomba itu kelak, bukan sahaja kebakaran malah kejadian kecemasan lain seperti kemalangan di laut juga dapat dikendalikan dengan cepat.

“Kimanis ini berhampiran laut. Jadi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di laut seperti kes lemas, pihak bomba akan dapat bertindak dengan lebih cepat,” kata Latifah.

Malah katanya, memandangkan kebakaran belukar terutama pada musim panas kerap berlaku di Kimanis, dengan adanya balai bomba itu nanti, maka kebakaran tersebut akan dapat dipadamkan dengan segera.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim baru-baru ini berkata, empat balai bomba baharu akan dibina di Sabah tahun ini dan dua daripadanya termasuk balai bomba Kimanis dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata balai bomba di Kimanis dan Beluran kini masing-masing 95 peratus dan 93 peratus siap manakala dua lagi balai bomba yang akan dibina tahun ini ialah di Pitas dan Sook.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan