Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PENDIRIAN TUN MAHATHIR MAHU PERDAGANGAN ADIL DENGAN CHINA TEPAT: DARELL

Darell berbincang tentang sesuatu dengan Shafie dalam kunjungan hormat tersebut. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pendirian Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed yang mahu Malaysia dan China bukan sahaja menjalinkan kerjasama perdagangan bebas tetapi juga perdagangan secara adil bagi kedua-dua negara adalah tepat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking berkata, sekiranya negara ekonomi besar itu perlu mengenakan syarat terhadap Malaysia untuk melabur di dalam negara ini, ia adalah tidak adil kerana sesuatu kerjasama perdagangan itu perlu dibuat secara adil.

“Maknanya, jika mahu melaksanakan projek pembangunan yang dibiayai oleh negara asing dan dalam masa sama mereka mengenakan syarat yang ketat terhadap Malaysia, kita tidak harus mempersetujuinya.

“Oleh sebab itu, Tun Mahathir menegaskan bahawa perjanjian projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TGSP) dan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai berbilion ringgit adalah satu perjanjian yang bodoh dan membebankan negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah hari ini.

Selain itu, Darell berkata, adalah menjadi hak Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk menyatakan hasrat Malaysia untuk mengadakan satu kerjasama perdagangan yang adil.

Katanya, dalam lawatan Tun Mahathir ke China baru-baru ini, Perdana Menteri China Xi Jinping menyatakan bahawa negara itu memahami pembatalan kedua-dua projek tersebut adalah disebabkan keadaan kedudukan kewangan Malaysia yang tidak mengizinkan ketika ini.

ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 kilometer (km) yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, dilancarkan tahun lepas, dijadual siap pada 2024, manakala TSGP yang meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662km dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau, melibatkan kos RM4 bilion. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan