Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pendidikan Tentang Vaksin, Elak Salah Faham

10:04am 25/07/2016 Zakir Sayang Sabah 34 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Mutakhir ini, kemunculan semula penyakit seperti difteria yang melibatkan kematian dan peningkatan kes campak secara mendadak menimbulkan kontroversi vaksin dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di antara persepsi masyarakat yang timbul dan pertimbangan berdasarkan ilmu serta fakta menjadikan dua aliran perbezaan ini terus memuncak perbahasannya.

Penyakit cegahan vaksin seperti difteria dan campak berada dalam fasa kawalan dan belum dapat dibasmikan, justeru pemvaksinan  perlu dilaksanakan. Ia bukan hanya untuk sistem imunisasi individu tetapi juga sebagai benteng kepada kelompok masyarakat.

Oleh itu, kunci penyelesaian dalam isu pemvaksinan ini adalah pendidikan yang mengakar di setiap lapisan masyarakat. Masyarakat perlu dididik untuk mendapatkan ilmu dan maklumat mengikut saluran yang betul, merujuk kepada sumber yang sahih dan mampu membuat pertimbangan berdasarkan maklumat berkaitan setelah diberi penerangan sewajarnya oleh pihak yang berkredibiliti.

Ibu bapa perlu diberi peluang untuk berbincang dengan profesional kesihatan dan membuat ‘informed decision’ dalam usaha memberiperlindungan terbaik kepada anak-anak tanpa mengabaikan hak mereka dalam penjagaan kesihatan. Pertimbangan dan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan neraca yang digariskan oleh pihak yang pakar dalam penjagaan kesihatan mahu pun merujuk kepada institusi agama  yang berautoriti dan bukan sekadar dipandu dengan kekeliruan dalam beragama serta terpengaruh dengan khabar angin daripada yang bukan pakar.

Dalam hal ini, Allah mengungkapkan menerusi ayat 43 surah an-Nahl yang bermaksud “…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”. Dalam konteks ini, tidak dapat disangkal lagi, para doktor dan ahli perubatan adalah kelompok yang paling sesuai. Menurut neraca Islam, pengambilan vaksin adalah satu bentuk penjagaan kesihatan yang bersifat pencegahan bagi membendung penularan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Pemvaksinan menterjemahkan konsep tawakal pada setiap insan. Bukanlah tawakal itu kita menyerahkan sebulat-bulatnya kepada ketentuan Allah dengan tidak memberikan anak-anak imunisasi selengkapnya. Walaupun sakit itu ketentuan Allah dan mati itu adalah suatu yang pasti tetapi menjadi sihat merupakan pilihan kita. Justeru, pencegahan penyakit melalui pemvaksinan merupakan langkah tawakal seorang muslim setelah berusaha semampunya untuk meminimakan mudarat.

Pencegahan juga mampu mengurangkan kos rawatan. Imunisasi diberikan percuma oleh kerajaan atau jika perlu dibayar, kosnya jauh lebih rendahberbanding kos perubatan apabila terkena penyakit tersebut. Maka, apakah dengan sedikit pelaburan untuk anak-anak di awal usia mereka lebih mahal berbanding nilai kesihatan yang dijangkakan?

Secara tuntasnya, langkah penerangan dan pendidikan kesihatan oleh professional kesihatanyang merangkumi aspek keberkesanan, keselamatan dan kebaikan vaksin wajar diletakkan keutamaan dalam rangka memberi kesedaran pertanggungjawaban dan kepekaan ibubapa. Anak-anak perlu divaksin tetapi keperluannya bukan dengan cara paksaan malah melalui pendidikan yang berhemah, telus dan sahih. Golongan agama perlu memainkan peranan dengan penjelasan berfakta yang disepakati untuk mengelakkan prasangka dan kekeliruan masyarakat.Masyarakat awam pula perlu proaktif dalam mendapatkan sumber maklumat yang tepat dan mengelakkan daripada terpengaruh dengan persepsi negatif dan maklumat yang tidak sahih. Dengan usahasama pelbagai pihak akan meningkatkan kesedaran terhadap peri penting pemvaksinan dan menguatkan kembali kerintangan dalam masyarakat kita terhadap penyakit berjangkit malah salah faham tentang isu vaksin ini dapat dirungkai dan diselesaikan secara bijaksana.

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Norkumala binti Awang)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan