Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penculikan Di Sabah: Malaysia Akan Hubungi Kerajaan Filipina

11:03am 03/04/2016 Pak Roshan 482 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

anifah

KOTA KINABALU – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia akan menghubungi kerajaan Filipina berhubung kes penculikan empat rakyat Malaysia semalam.

Beliau berkata ini akan dilakukan setelah pihaknya mendapat maklumat sahih dan terperinci mengenai kejadian itu daripada pihak berkuasa berkenaan.

“Kemudian, barulah kita fikir, apakah kerjasama yang perlu dilakukan antara Malaysia dan kerajaan Filipina supaya mangsa diculik dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya mengulas kejadian itu yang disahkan oleh polis Sabah hari ini.

Anifah ditemui pemberita pada majlis keraian “Post-Sabah Earthquake – ‘Thank You” dihos oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan di sini, malam ini.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar agar digantung serta merta segala bentuk hubungan perniagaan antara Sabah dengan Selatan Filipina.

Menurut cadangan itu, langkah itu termasuk menggantung pembekalan barang keperluan ke selatan negara itu.

Anifah berkata cadangan itu perlu dilihat jika ia mampu menjadi antara langkah terbaik mengurangkan kes penculikan yang sering berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, perniagaan memang penting, tetapi nyawa lebih penting.

Katanya, Malaysia memandang serius kes penculikan termasuk jenayah rentas sempadan yang sering berlaku di perairan Sabah.

“Apabila ia melibatkan nyawa, kita (Malaysia) ambil serius dan saya tahu kerajaan Pusat begitu prihatin tentang (keselamatan) Sabah.

“Namun, perairan (Sabah) luas, agak sukar untuk menjaga dan mengawal satu atau dua kapal masuk.

“Justeru, kita minta supaya mereka (kerajaan Pusat) lebih melihat keadaan itu termasuk mencari kaedah memberhentikan kegiatan culik ini,” katanya.

Mangsa yang diculik itu berumur 21 hingga 34 tahun adalah dari kumpulan sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Lima individu lain yang terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia dilepaskan oleh penculik. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan