Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penculik dipercayai sudah sampai Filipina

KOMANDER Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali. – Foto Ihsan Esscom

 

KOTA KINABALU: Penculik yang melarikan dua nelayan warga Indonesia di perairan Semporna, semalam dipercayai sudah menyelinap keluar dari Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata pihaknya bagaimanapun belum menerima panggilan daripada penculik dan pihak berkuasa Indonesia juga belum menghubungi ESSCOM.

“Saya percaya mereka (pihak berkuasa Indonesia) melalui Wisma Putra (untuk mendapatkan maklumat). Untuk ESSCOM, kita sentiasa berada pada tahap waspada yang tinggi dan menggunakan semua aset untuk tingkatkan keselamatan di laut.

“Kita akan lancarkan operasi maritim untuk memeriksa semua bot termasuk bot pam di pantai timur (Sabah),” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi semalam, dua lelaki bertopeng dipercayai membawa senjata api M16 menyerbu sebuah bot nelayan dinaiki empat nelayan warga Indonesia berhampiran Pulau Gaya di Semporna.

Dalam insiden penculikan terbaharu itu, dua nelayan dilarikan, manakala dua lagi sempat bersembunyi daripada penculik yang dipercayai menggunakan bot pam.

Mengulas mengenai isu bot pam yang biasanya digunakan nelayan dan kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR), Hazani berkata, ESSCOM akan menjalankan pembancian dan mendaftarkan semua bot pam di pantai timur terutama Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), bulan depan.

“Kerajaan negeri mencadangkan untuk membenarkan penggunaan bot pam, tetapi mesti didaftarkan. Lesen yang betul mesti dikeluarkan antara lain bagi memudahkan kita memantau mereka. Kita tak boleh membenarkan bot pam digunakan begitu saja,” katanya sambil menegaskan perkara itu masih di peringkat cadangan.

Pengharaman bot pam di ESSZONE dilaksanakan kerajaan terdahulu untuk meningkatkan keselamatan di perairan ESSZONE dan sebagai langkah mencegah jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.

Sementara itu, Hazani menerusi kenyataan berkata, siasatan mendapati kapal nelayan berkenaan tidak dilengkapi sistem pengesanan automatik (AIS) walaupun pihaknya berulang kali memberi peringatan mengenai kepentingan alat berkenaan.

“Malangnya ada pengusaha kapal atau bot nelayan masih gagal mematuhinya. Pemasangan alat ini adalah pendekatan strategik yang boleh membantu pihak keselamatan membuat pemantauan terhadap aktiviti perkapalan di perairan ESSZONE.

“Menjadi amalan kru kapal atau bot nelayan apabila berdepan situasi jenayah di laut menghubungi majikan mereka terlebih dahulu sebelum majikan memaklumkan kepada pihak keselamatan. Ini menyebabkan pasukan keselamatan tidak dapat mengambil tindakan segera dan memberi ruang kepada penjenayah melarikan diri,” katanya.

Beliau juga meminta semua pengusaha kapal dan bot yang beroperasi di perairan ESSZONE supaya menyimpan nombor telefon Pusat Operasi ESSCOM bagi memudahkan kru membuat panggilan jika berlaku kecemasan, selain mereka dikehendaki memaklumkan kedudukan semasa kapal kepada ESSCOM. –¬†Oleh Avila Geraldine/BH Online

Komen


Berita Berkaitan