Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,503

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pencarian di Lokasi Baharu Di Koridor Selatan – Hishammuddin

12:24pm 05/06/2014 Pak Roshan 37 views Nasional

selatan

KUALA LUMPUR:  Kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang akan diperluas, tetapi kekal di Koridor Selatan, dengan menggunakan apa jua kepakaran yang ada, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Kalau tidak jumpa kotak hitam, kita kena cari lokasi baharu dan guna apa jua kepakaran yang ada untuk mengenal pasti lokasi berkenaan. Apa yang penting sekarang lokasi itu kekal di Koridor Selatan, itu yang tidak dipertikai dan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Malah ia telah disahkan oleh pakar-pakar seluruh dunia. Persoalannya di mana di Koridor Selatan. Ia besar, tapi di situlah kita akan memasuki fasa baharu,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian pesawat MH370 itu di ibu negara, Rabu.

Hishammuddin diminta mengulas kenyataan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) bahawa kawasan pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi berdasarkan empat isyarat ping dipercayai daripada kotak hitam, diisytihar sebagai bukan kawasan pesawat itu hilang.

JACC yang berpejabat di Australia menyatakan bahawa ia telah menyelesaikan pencariannya di Lautan Hindi di mana isyarat ping dikesan dan ia telah mengetepikan zon itu sebagai tempat bersemadinya pesawat MH370 itu, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Namun, JACC tetap yakin bahawa ia telah mengesan laluan pesawat MH370 yang memasuki perairan itu menerusi selatan Lautan Hindi yang panjang tetapi sempit.

Ditanya mengenai dakwaan seorang pelayar British kononnya ternampak pesawat itu terbakar berdekatan Thailand pada pagi ia dilaporkan hilang, Hishammuddin berkata “terlalu banyak dakwaan yang kami terima, tapi tiada yang dapat dibuktikan. Ia perlu disahkan terlebih dahulu”.

Hishammuddin juga ditanya mengenai dua isyarat ping terbaharu dipercayai daripada pesawat itu yang didakwa ditemui pihak berkuasa Australia.

“Kami perlu berkumpul semula dan melihat apa-apa petunjuk lain yang ada.

“Jika ada maklumat berhubung lokasi dan petunjuk baharu, itu kami serahkan pada pakar-pakar dan menghantar aset di bawah Jawatankuasa Aset dan maklumkan kepada keluarga,” katanya.

Pencarian sebelum ini berdasarkan isyarat ping yang dikesan oleh kapal Ocean Shield namun tidak menemui apa-apa, kata Hishammuddin.

Beliau menarik perhatian bahawa terdapat sekurang-kurangnya enam syarikat tempatan seperti Petronas, Boustead dan Deftech telah menyumbang dana, aset dan perkhidmatan dalam tender terbuka bagi pencarian pesawat itu.

Mengulas hasil mesyuarat hari Rabu, Hishammuddin berkata ia lebih kepada proses persediaan kementerian yang terbabit daripada segi keluarga, aset, pakar-pakar, media dan hubungan dengan negara luar jika pencarian pesawat MH370 mengambil masa yang lebih lama.

Sementara itu Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telahpun membuka tender bagi memperoleh perkhidmatan sebuah syarikat pakar untuk mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370.

Kenyataan ATSB menyebut pencarian dalam air bagi pesawat jenis Boeing 777-200ER akan dipergiat mulai Ogos dan dijangka mengambil masa sehingga 12 bulan.

Petender berjaya dijangka menyediakan kepakaran, peralatan dan kapal yang diperlukan bagi menjalankan misi pencarian di selatan Lautan Hindi dengan kedalaman antara 1,000 dan 6,000 meter.

“Meskipun zon carian yang tepat sedang diusahakan oleh satu kumpulan kerja strategi pencarian antarabangsa, dijangka petender berjaya akan mencari di kawasan seluas sehingga 60,000 kilometer persegi berdasarkan persetujuan bersama di mana pesawat itu berkomunikasi buat kali terakhir dengan satelit Inmarsat,” kata kenyataan itu.

Selain itu, syarikat berkenaan akan bertangungjawab untuk mengenal pasti secara positif dan memeta kawasan serpihan MH370 menggunakan peralatan khusus seperti kenderaan bawah air berautonomi yang dipasang sonar dan ditunda atau sistem pengimejan optik.

ATSB mengetuai misi pencarian atas permintaan kerajaan Malaysia berdasarkan Lampiran 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan