Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pencapaian, Perbelanjaan Infrastruktur Di Sabah Melebihi Sasaran Tahun Lepas

10:22am 06/02/2016 Pak Roshan 81 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

city-tour01

KINABATANGAN : Pencapaian dan perbelanjaan program infrastruktur luar bandar di Sabah pada tahun lepas, melebihi sasaran yang telah ditetapkan kerajaan.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup kepada pemberita, selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Aku Janji Kerajaan Persekutuan Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1, di Pejabat Daerah Tongod, hari ini.

Beliau berkata tumpuan pertama ialah menyediakan jalan raya di luar bandar, dengan sasaran kerajaan pada tahun lepas adalah 198 kilometer (km) tetapi pencapaiannya melebihi daripada itu, sepanjang 214.85km.

“Ini bermakna 109 peratus dicapai. Satu projek lagi yang benar-benar diperlukan rakyat ialah berkaitan bekalan air luar bandar dengan sasaran kita pada tahun lepas ialah menyediakan bekalan air kepada 2,500 rumah.

“Tetapi kita telah melepasi sasaran dengan mencapai pelaksanaan pembekalan air di setiap rumah berjumlah 4,150 buah,” katanya.

Beliau berkata bagi bekalan elektrik luar bandar pada tahun lepas, sasarannya adalah 3,584 rumah, namun pencapaiannya melebihi sasaran melibatkan 3,605 rumah.

Kurup yang juga Anggota Jawatankuasa Memantau Pelaksanaan Projek-Projek Aku Janji Kerajaan Persekutuan bagi Sabah, berkata pihaknya juga akan terus memantau dan membantu dari segi pengukuran tanah diluluskan kerajaan negeri untuk diberikan kepada pemohon Bumiputera yang layak.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini, bagi jalan raya luar bandar sasarannya adalah sepanjang 258km dengan peruntukan berjumlah RM275.7 juta, manakala bagi bekalan air luar bandar pula menyasarkan 1,000 rumah dengan peruntukan RM206 juta.

Katanya sasaran bekalan elektrik luar bandar pula adalah sebanyak 5,000 rumah ditetapkan tahun ini, melibatkan peruntukan RM478 juta.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan