Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penantian 30 Tahun Peneroka Tanah Di Mount Pock Dan Nagos Untuk Geran Berakhir

geran

SEMPORNA : Penantian lebih 30 tahun oleh 745 peneroka tanah di Mount Pock dan Nagos di sini akhirnya berhasil apabila menerima geran komunal yang diserahkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Penyerahan bersejarah itu berlangsung di Dewan Masyarakat Semporna dan menyaksikan sebanyak 2,096 hektar tanah diserahkan iaitu 1,388 hektar di Mount Pock dengan setiap peserta mendapat 3.2 hektar manakala 708 hektar lagi di Nagos iaitu dua hektar untuk setiap peserta.

Musa ketika berucap pada majlis penyerahan itu berkata, pemberian geran komunal itu sebagai bukti kerajaan negeri tidak bersikap pilih kasih terhadap mana-mana penduduk Sabah dalam isu tanah dan sebaliknya sentiasa berusaha memenuhi permintaan rakyat secara saksama.

“Itu dakwaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab kata kita hanya beri geran kepada kawasan pedalaman di Keningau, Pensiangan dan Nabawan tetapi kita berusaha beri kepada seluruh Sabah dan orang Semporna juga berhak mendapatkan tanah cuma ia mengambil masa dan proses yang panjang,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar penerima geran berusaha memajukan tanah itu untuk menjana pendapatan dan sekali gus menjadi warisan generasi masa hadapan.

“Geran komunal diwujudkan sebagai peraturan bagi mengelak tanah berkenaan dijual, tanah perlu dibangunkan serta diturunkan kepada anak cucu, saya tak rela kalau anak cucu kita terpinggir,” katanya lagi.

Sementara itu, Wakil Komuniti Geran Komunal Mount Pock dan Nagus Haji Sappari Osman 52 tahun, ketika ditemui pemberita bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan para pemimpin yang prihatin dan berusaha membela nasib rakyat.

“Tanah ini sememangnya susah untuk diperolehi, pelbagai liku terpaksa ditempuhi kerana Jabatan Hutan telah merizabkan tanah ini bagi melindungi warisan khazanah alam namun dengan semangat kental kami akhirnya membuahkan hasil.

Kami tidak mahu berputih mata, tanah ini warisan untuk anak cucu kami pada masa hadapan, banyak emosi yang dicurahkan dalam usaha memperoleh tanah ini sehingga terbit kata kesat, malah ada yang terguris hati jadi kami mohon maaf untuk semua itu,” katanya.

Katanya, tanah berkenaan telah diteroka oleh penduduk terlibat seawal tahun 70-an dan pada tahun 1984 Kerajaan sabah telah menguatkuasakan tanah berkenaan sebagai hutan simpan dan sejak itu penduduk terlibat telah membuat permohonan bagi mengusahakan tanah itu untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan