Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Penantian 20 Tahun Untuk Geran Tanah Berakhir

KINABATANGAN – Penantian hampir 20 tahun untuk memiliki geran tanah oleh 330 penduduk di 17 kampung di Sukau dan Kuamut berakhir hari ini.

Geran tanah tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dalam satu majlis penyerahan bersempena pelancaran jentera Barisan Nasional Kinabatangan di sini.

Seramai 270 penduduk yang menerima geran tanah itu dari enam kampung di Kuamut dan 60 penerima dari sebelas kampung di Sukau.

Berucap pada majlis itu, Musa berkata pemberian geran tanah kepada penduduk tersebut membuktikan kerajaan menepati janji yang diberikan kepada rakyat untuk memiliki tanah sendiri.

Katanya ia sejajar dengan pelaksanaan Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sabah untuk meluluskan permohonan geran tanah penduduk di beberapa kampung di negeri ini.

“Kita memberi hak kepada rakyat dalam memiliki tanah kerana kerajaan sedar akan kepentingan tanah kepada penduduk di negeri ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Datuk Safar Untong.

Ketua Kampung Nusa Jaya yang juga penerima geran tanah itu, Nursani Jamri Yusof berkata 82 penduduk di kampungnya sudah menerima geran tanah yang dipohon dan 90 lagi masih menunggu proses kelulusan.

Katanya geran tanah yang diterimanya membabitkan tanah seluas tiga hektar yang dipohon sejak 20 tahun lepas.

Menurutnya biarpun menunggu lama untuk kelulusan geran tanah itu tetapi kerajaan negeri telah membuktikan mereka menunaikan janji kepada rakyat.

Penduduk kampung yang menerima geran tanah tersebut antaranya membabitkan kampung Sinar Jaya, Usaha Jaya, Berjaya 1, Berjaya 2, Buang Sayang dan Pintasan di Kuamut serta Kampung Perpaduan, Sentosa Jaya, Sukau dan Sungai Kertam Besar di Sukau. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan