Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Penambahan 1 Kerusi Dun Kalabakan Perlu Dipandang Positif

1:38pm 25/09/2016 Pak Roshan 810 views Mutakhir,Politik

adun

TAWAU – Cadangan penambahan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu bagi Parlimen Kalabakan perlu dipandang secara positif, kata Anggota DUN Tanjong Batu Datuk Hamisa Samat.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah berkata penambahan kerusi baharu DUN itu dilihat berupaya membantu wakil rakyat memberi fokus kepada kawasan masing-masing dengan lebih baik.

“Bila DUN sudah dikecilkan ia lebih memudahkan perhatian dan tumpuan walaupun sebenarnya kami tidak ada masalah dengan kawasan sedia ada kerana telah biasa turun ke semua lokasi, tetapi kami akur dengan keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Kelab Usahawan An Nisa Cawangan Tawau 2 Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di sini malam tadi.

Untuk rekod, ketika ini Parlimen Kalabakan mempunyai tiga kawasan DUN iaitu Tanjong Batu, Sebatik dan Merotai, dan kini menjadi empat selepas kajian semula persempadanan kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi penambahan DUN Kukusan.

Ketika ditanya mengenai kewujudan parti baharu yang ingin mencabar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Hamisa optimis rakyat bijak menilai dan tahu menghargai jasa yang telah dilakukan BN.

“Kami sedia maklum bila dekat PRU ini, perkara seperti ini berlaku, tetapi kerajaan BN telah banyak membantu rakyat dan rakyat kena ucap terima kasih kepada kerajaan atas nikmat dan kemajuan yang kita kecapi ini,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan