Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PEMUTIHAN PEKERJA ASING BUKAN PEMBERIAN KEWARGANEGARAAN

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman pada sidang media selepas majlis pelancaran Sabah Job and Entrepreneur Fair 2018 di Suria Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan tidak bercadang memberikan kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada pekerja-pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membuat pemutihan keatas pekerja-pekerja asing tersebut.

Katanya, ia seperti mana yang disalahertikan oleh orang ramai berkenaan cadangan kerajaan negeri baru-baru ini.

“Kadang-kadang, bila disebut pemutihan, ada pula pihak-pihak yang tidak bertanggngjawab menyalahtafsirkan proses pemutihan ini dengan memberikan kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada rakyat asing.

“Sebenarnya tidak. Tujuan yang dimaksudkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ialah ingin memastikan pekerja-pekerja asing yang berkerja secara haram ini, kita putihkan.

“Kita rekodkan bilangan mereka dan kita akan tahu di mana mereka bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Sabah Job and Entreprenuer Fair 2018 di pusat membeli belah Suria Sabah hari ini.

Katanya, sebelum ini, kerajaan tidak mendapat cukai walaupun kebanyakan pekerja-pekerja asing tersebut dibayar gaji dan lagi teruk levi dibayar oleh majikan-majikan untuk menggaji mereka.

Tambahnya, untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah melalui proses pemutihan yang mana bukanlah memberi taraf kewarganegaraan kepada pekerja-pekerja asing berkenaan.

“Saya perlu terangkan satu perkara yang sangat penting iaitu bila kita membuat program pemutihan, kita akan mengambil cap jari, imbasan retina mata dan gambar mereka.

“Malah, saya juga bercadang untuk mengambil kumpulan darah mereka agar memudahkan kerja-kerja untuk mengenal pasti individu-individu ini.

“Ini kerana, apabila pekerja asing tersebut ditangkap dan dihantar ke negara asal, mereka akan memasuki negara ini semula dengan menggunakan pengenalan diri lain,” tambahnya.

Azis berkata, untuk mengenal pasti individu tersebut adalah melalui maklumat-maklumat yang direkodkan melalui proses pemutihan walaupun mereka menggunakan nama yang berbeza.

“Ketika mereka memasuki negara kita, walaupun nama berbeza, kita akan tahu bahawa individu tersebut pernah masuk ke sini dan kita akan menghalang kemasukan mereka ini.

“Dari segi jenayah pula, kita dapat membuat pemantauan adakah mereka ini pernah melakukan jenayah di sini,” jelasnya. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan