Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pemukiman AMM Beri Impak Positif Kepada Pembangunan Sabah – Musa

Musa Aman (tengah) diiringi Anifah menghadiri Malam Gala sempena Persidangan AMM di Kota Kinabalu, Sabah. - foto Jabatan Penerangan
Musa Aman (tengah) diiringi Anifah (kiri) menghadiri Malam Gala sempena Pemukiman AMM di Kota Kinabalu, Sabah. – foto Jabatan Penerangan
KOTA KINABALU, 27 Jan (Bernama) — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman optimis bahawa Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) 2015 dan mesyuarat persediaan berkaitan di sini akan membawa kesan positif dan besar ke arah pembangunan negeri itu.

Katanya acara itu akan meningkatkan rangsangan kepada ekonomi Sabah yang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam tahun-tahun kebelakangan ini, sekali gus membuktikan Sabah berada di landasan betul dalam agenda pembangunannya.

“Semasa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kerajaan akan berusaha menganjurkan pelbagai mesyuarat ASEAN di bandar raya berbeza di seluruh negara.

“Setiap bandar raya mempunyai tarikan tersendiri dan menjemput anda kepada pelbagai daya tarikan berbeza yang terdapat di negeri masing-masing,” katanya pada majlis jamuan malam meraikan kedatangan Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dihoskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Magellan Sutera Harbour Resort di sini, Selasa malam.

Menurut Musa, penganjuran mesyuarat-mesyuarat ASEAN di seluruh negara adalah untuk membolehkan setiap negeri merasakan bahawa ia adalah sebahagian daripada projek lebih besar Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini serta memupuk semangat kekitaan dalam ASEAN.

Ketua Menteri itu berkata kepakaran pihak berkepentingan boleh diterokai dengan mempelawa input dan idea mereka serta setiap lapisan masyarakat dalam membantu menyusun, memimpin, dan akhirnya meraikan pembentukan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.

Di samping itu, katanya, selaku Pengerusi ASEAN, tema Malaysia adalah untuk memupuk sebuah ASEAN berpaksikan rakyat.

“Selaras dengan ini dan pada setiap kesempatan, Malaysia bercadang untuk melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam melakukan persediaan untuk pelbagai mesyuarat,” katanya.

Musa Aman (kiri) bersalaman dengan para delegasi menteri-menteri luar ASEAN sempena Pemukiman AMM, di Kota Kinabalu. - foto Jabatan Penerangan
Musa Aman (kiri) bersalaman dengan para delegasi menteri-menteri luar ASEAN sempena Pemukiman AMM, di Kota Kinabalu. – foto Jabatan Penerangan
Musa juga menjemput tetamu asing pada permukiman itu untuk mengambil peluang melawat tempat-tempat menarik serta menikmati keajaiban alam semula jadi antara lain Gunung Kinabalu, Lembah Maliau, juga dikenali sebagai ‘The Lost World’ serta keindahan pulau tersohor dunia, Pulau Sipadan.

“Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian pada kunjungan kali ini, sila datang semula pada masa lain,” katanya.

Mengenai persekitaran alam semula jadi, Musa berkata kerajaan Sabah sendiri mempunyai salah satu dasar pengurusan dan pemuliharaan hutan terbaik di Malaysia dengan peratusan tertinggi Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) hutan di negara ini dan percaya kemajuan tidak harus diiringi dengam mudarat.

“Oleh itu, pendekatan Sabah ke arah pembangunan mestilah yang seimbang dan sesuatu yang mampan,” katanya.

Tambahan daripada itu, katanya, Sabah mempunyai sekurang-kurangnya 32 kumpulan etnik dan kepelbagaian budaya dan agama.

“Oleh itu, saya berharap anda akan menikmati kekayaan warisan budaya, layanan mesra rakyat, khazanah ekologi dan keindahan alam semula jadi kami,” katanya. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan