Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pemuda UMNO Sabah sokong cadangan wujud “Youth Avenue”

3:16pm 22/04/2016 Elezebeth Esther Onjining 221 views Tempatan
Yamani Hafez

Yamani Hafez

KOTA KINABALU- Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menyokong cadangan untuk mewujudkan “Youth Avenue” di negeri  ini, kata Ketuanya, Yamani Hafez Musa.

Katanya, Pemuda UMNO Sabah berharap Kerajaan Negeri dapat  menimbang, melihat konsep dan cadangan ini secara menyeluruh dan serius demi kebaikan golongan generasi muda.

“Justeru, cadangan ini dapat mewujudkan satu produk dibawah jenama Kerajaan Negeri yang membawa signifikan yang besar kepada belia di negeri ini”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan mewujudkan “Youth Avenue” di Sabah yang mendapat  sambutan dan sokongan oleh beberapa orang Jemaah menteri negeri.

Mereka ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Haji Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Siringan Gubat.

Hafez berkata, Pemuda UMNO amat positif dan yakin dengan cadangan yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sabah, dua hari lalu.

Katanya, Pemuda UMNO Sabah melihat cadangan mewujudkan “Youth Avenue” akan membuka pelbagai ruang dari segi budaya inovatif, kreativiti, keusahawan, kesukarelawan dan juga dapat memartabatkan belia di Sabah secara keseluruhnya.

“Manifestasi untuk memperkasakan belia di Sabah akan sedikit sebanyak tercapai melalui kewujudan “Youth Avenue””, tegasnya.

Menurutnya, untuk memastikan idea itu dapat direalisasikan, Pemuda UMNO Sabah akan mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perjumpaan dengan  Mohamad Alamin dan Tawfiq untuk mengerakkan pelan yang dicadangkan itu.

Hafez menegaskan, Pemuda UMNO Sabah akan terus memperjuangkan politik “nilai dan makna” kerana itulah yang di dahagakan oleh rakyat Sabah terutamanya golongan belia.- SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan