Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pemuda UMNO KK sokong pemecatan Muhyiddin, Mukhriz dan penggantungan Shafie

11:59am 26/06/2016 Elezebeth Esther Onjining 295 views Tempatan
Bahrin menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima OKU pekak sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Kota Kinabalu.

Bahrin menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima OKU pekak sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas kesalahan disiplin dan menggantung keahlian Naib Presiden, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal.

Ketuanya, Mohd.Bahrin Abd.Karim berkata, keputusan MT UMNO itu amat wajar demi menjaga keutuhan parti itu.

“Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu yakin tindakan disiplin termasuk memecat dan menggantung keahlian ahli UMNO yang melanggar disiplin parti amat tepat dan wajar supaya UMNO terus teguh”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa pergerakan itu bersama pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah Masjid Bandaran Kota Kinabalu dan OKU pekak di Hotel Hyatt di sini, semalam.

Bahrin diminta mengulas mengenai pemecatan keahlian Muhyiddin dan Mukhriz kerana bersekongkol dengan pembangkang dan menyerang kepemimpinan UMNO.

Selain itu, katanya, Shafie pula digantung keahliannya sehingga MT menerima laporan Jawatankuasa Disiplin.

Sehubungan itu, seramai 30 orang pelajar Tahfiz Al Quran dan 10 orang kelainan upaya (pekak) daripada Persatuan Orang-Orang Pekak diraikan dengan majlis berbuka puasa selain menerima sumbangan duit Raya.

Bahrin berkata, sekiranya tindakan tegas tidak diambil terhadap ahli UMNO yang melanggar disiplin dan mensabotaj parti, ia akan melemahkan UMNO yang merupakan tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional (BN) Pusat dan Negeri.

Serentak itu, beliau meminta ahli-ahli UMNO khususnya di kawasan Kota Kinabalu menerima dengan hati terbuka keputusan pemecatan itu dan terus mengukuhkan perpaduan dalam parti.

“Matlamat utama kita ialah memastikan UMNO dan BN terus relevan dan perkasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang”, tegasnya.

Katanya, Pemuda UMNO Kota Kinabalu telah dan akan terus mengadakan program turun padang dan mendampingi rakyat di akar umbi terutama masyarakat Bumiputera dalam bandar.

Beliau juga berharap Biro Penerangan UMNO akan menggiatkan program penerangan kepada ahli-ahli mengenai pemecatan dan penggantungan itu.

Terdahulu, keputusan untuk memecat Muhyiddin Yassin dan Mukhkriz serta penggantungan keahlian Shafie itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, jumaat lalu. – SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan