Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PEMINDAHAN BATU SUMPAH KENINGAU BERJALAN LANCAR

Batu Sumpah Keningau dimuatkan ke atas lori 10 tan untuk dipindahkan ke tempat baru di Muzium Warisan Keningau. Gambar SNT/Sosial Media

KENINGAU: Batu Sumpah Keningau yang terletak di perkarangan pejabat sekretariat daerah dipindahkan ke tempat baharu di Muzium Warisan Keningau dalam satu proses pemindahan dipenuhi dengan adat istiadat masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) yang berjalan dengan lancar hari ini di sini.

Kos pemindahan Batu Sumpah tersebut adalah RM1.025 juta.

Proses itu termasuk memuatkan bungkah Batu Sumpah itu ke atas lori muatan 10 tan untuk dibawa ke tempat baharu dengan diiringi lebih kurang 1,000 orang yang diketuai oleh Bobolian Keningau Muri Kulim bersama-sama dengan Bobolian dari beberapa buah daerah di pedalaman bermula 9 pagi.

Tujuh kepala setiap satu, Kerbau, Ayam Putih dan Kinzir yang ditanam bersebelahan tempat Batu Sumpah baru. Gambar SNT/Sosial Media

Ketua Daerah Keningau OKK Amir Arif berkata, proses dimulakan dengan upacara ritual melibatkan sebanyak 21 ekor haiwan ternakan iaitu tujuh ekor kerbau jantan, tujuh ekor ayam putih dan tujuh ekor kinzir yang disembelih sebagai korban pada awal pagi yang sama.

Ketua Daerah Keningau OKK Amir Arif. Gambar Fail SNT

Kepala-kepala haiwan itu kemudian ditanam bersebelahan dengan tempat baru Batu Sumpah.

 

Namun, darah, jantung dan hati ditanam di bawah Batu Sumpah tersebut mengikut kepercayaan dan adat resam masyarakat KDM.

Upacara penyusunan kepala-kepala haiwan. Gambar SNT/Sosial Media

“Syukur semuanya berjalan dengan lancar tanpa ada perkara yang buruk berlaku dan sudah pasti ia dijalankan mengikut adat untuk memenuhi syarat proses pemindahan dengan kehadiran sama bobolian dari Tenom, Nabawan, Pensiangan, Sook, Kemabong, Tenom dan diketuai oleh Keningau sendiri.

“Batu Sumpah ini sangat bernilai dan penuh sejarahnya yang mana ia adalah sebuah tugu peringatan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Kepala-kepala kerbau, ayam putih yang diletakkan di atas kepala kerbau dan kinzir disusun sebelum ditanam. Gambar SNT/Sosial Media

“Ia melambangkan penerimaan kita khasnya di bahagian pedalaman yang pada mulanya rakyat tidak bersetuju untuk membentuk Gagasan Malaysia,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday pada Upacara Pemindahan Batu Sumpah Daerah Keningau.

Katanya, Batu Sumpah berkenaan diambil dari Sungai Mosolok Kampung Senagang yang airnya mengalir ke Sungai Pegalan.

Tambahnya, Batu Sumpah tersebut dibawa ke Keningau untuk diperhalusi dan berbentuk gengaman tangan atau penumbuk.

“Tempat mulanya ia diletakkan ialah di Perkarangan Pejabat Daerah Lama berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Ukur Keningau dan atas sebab tapak Batu Sumpah itu terbabit dengan pembinaan jalan raya dua hala jadi terpaksa dipindahkan ke Pejabat Daerah baru pada 1982 walaupun banyak tentangan pada ketika itu.

Batu Sumpah Keningau kini di tempat baru namun bungkusannya hanya akan dibuka pada 16 September nanti. Gambar SNT/Sosial Media

“Pemindahan kali kedua ini ke perkarangan Muzium Warisan dibuat kerana banyak ketidakpuasan hati dan marah daripada pihak-pihak tertentu apabila kawasan itu tidak boleh dimasuki khasnya pada cuti umum atau pada hari kelepasan kerana kawasan itu ditutup dan dikunci.

“Memindah ke kawasan kedua ini adalah untuk memberi kebebasan pada semua pengunjung untuk melawat Batu Sumpah pada bila-bila masa mereka hendak ke situ dan sudah pasti ia memberi kesenangan serta keselesaan pada pengunjung untuk datang dengan kawasan letak kereta yang luas tersedia,” tambahnya.

Jelasnya, Batu Sumpah berkenaan masih lagi dibungkus rapi untuk mengelakkan sebarang kerosakan dalam proses perpindahan dan akan dibuka pada 16 September sempena Hari Malaysia kelak.

Sementara itu, mengulas berkenaan isu Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan kononnya tidak dijemput pada upacara berkenaan sedangkan beliau antara pemimpin masyarakat yang berjuang agar Batu Sumpah itu dipindahkan, Amir berkata, menurut pihak muzium yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan pemindahan dan penjagaan Batu Sumpah tersebut menyatakan mereka berpegang dengan Dasar Kerajaan ‘Government Of The Day’. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan