Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Pemimpin Sabah pun boleh jadi TPM’

DATUK Seri Abdul Rahman Dahlan berucap di majlis ramah mesra bersama pemimpin-pemimpin gereja Katolik Sepanggar di Inanam. – Foto Khairull Azry Bidin

 

KOTA KINABALU: Pemimpin dari Sabah boleh dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri jika kedudukan wakil Barisan Nasional (BN) dari negeri ini di Parlimen bertambah kuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yakin pemimpin dari Negeri di Bawah Bayu mampu sampai ke tahap itu.

“Kita yakin jika kita cukup kuat dalam Parlimen dan dengan sokongan pemimpin di Semenanjung, harapan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dipegang orang Sabah adalah tidak mustahil.

“Kita mesti yakinkan pemimpin Semenanjung yang kita juga boleh memimpin negara ini, maka kita perlu kerja kuat dan tunjukkan jika pilih orang Sabah jadi Timbalan Perdana Menteri, malah Perdana Menteri sekalipun, kita juga dapat tadbir negara ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan bersama pemimpin gereja Katolik kawasan Sepanggar di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi BN Sepanggar, Datuk Yakub Khan; Presiden Persatuan Sino Kadazandusun Murut, Datuk Johnny Goh; dan wakil pemimpin gereja Katolik kawasan Inanam, Manggatal dan Telipok, Paul Chong.

Abdul Rahman berkata, kedudukan ramai pemimpin Sabah dalam Kabinet Persekutuan ketika ini jelas menggambarkan keyakinan kerajaan Pusat terhadap kebolehan orang Sabah menggalas tanggungjawab besar negara.

Bagi mendapatkan perhatian lebih besar, katanya, BN Sabah perlu terus kukuh dan menjadi tulang belakang kekuatan BN secara keseluruhan.

“Untuk itu, rakyat Sabah perlu mengundi pemimpin dan parti yang betul untuk menjadikan suara Sabah lebih kuat supaya dapat didengar dengan teliti (oleh kerajaan Persekutuan),” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kerajaan sentiasa bersedia membantu masyarakat Kristian menyelesaikan masalah dihadapi, termasuk berkaitan pembaikan gereja.

Beliau akan mewujudkan saluran khusus untuk mendengar keperluan masyarakat Kristian di Sepanggar, selain membawa wakil mereka dalam Majlis Perundingan Sepanggar yang akan diwujudkan.

“Mereka (wakil gereja) berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan negeri kerana menyalurkan peruntukan untuk gereja, namun mereka juga meminta keperluan pembaikan diteliti dan saya sedia memberi bantuan untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Terdahulu, Paul berkata lebih 20 gereja di kawasan Inanam, Manggatal dan Telipok menerima peruntukan tahunan kerajaan untuk pembaikan gereja dan sekolah mubaligh, namun jumlah berkenaan belum mencukupi.

“Kita mahu menjalin kerjasama lebih erat dengan pemimpin di kawasan ini dan berharap Datuk Abdul Rahman dapat terus duduk di sini (Sepanggar) supaya mudah untuk kita berbincang mengenai keperluan gereja di kawasan ini,” katanya. – BH ONLINE

DATUK Seri Abdul Rahman Dahlan (enam dari kiri) bergambar bersama sebahagian pemimpin-pemimpin gereja Katolik Sepanggar ketika majlis ramah mesra di Inanam. – Foto Khairull Azry Bidin

Komen


Berita Berkaitan