Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pemimpin Sabah Diberi Kepercayaan

KOTA KINABALU: Pelantikan tiga menteri dari Sabah menganggotai Kabinet Persekutuan membuktikan petanda baik dan kepercayaan kerajaan baharu Pakatan Harapan terhadap kewibawaan para pemimpin negeri ini.

Tiga menteri tersebut ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk V. K. Liew dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; Mohamaddin Ketapi.

Selain menteri penuh, dua pemimpin dari negeri ini Datuk Mohd. Azis Jamman dan Isnaraissah Munirah Majilis, masing-masing dilantik Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, Sabah amat bertuah kerana mempunyai ramai pemimpin berkaliber yang menggalas tugas-tugas penting penting dalam perkhidmatan awam.

“Saya berharap lebih ramai lagi penjawat awam dari Sabah akan `berani’ ke Semenanjung, bukan sahaja untuk menimba ilmu dan meluaskan pengalaman tetapi juga untuk menggalas jawatan penting dalam perkhidmatan awam.

“Di pejabat saya sendiri terdapat dua anak jati Sabah yang meninggalkan `the comfort of their own home’ untuk menyahut cabaran dan berkhidmat di Putrajaya,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Bersama Penjawat Awam Negeri Sabah di Auditorium Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, hari ini.

Ali Hamsa berkata, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu telah menyaksikan detik bersejarah buat negara apabila PH yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berjaya memenangi PRU-14 seterusnya membentuk kerajaan baharu.

Jelasnya, di Sabah juga, telah melihat perubahan pentadbiran kerajaan negeri ini dalam memilih kepimpinan negeri baharu.

Katanya, detik bersejarah itu amat bermakna kerana peralihan kuasa telah berlaku dengan aman dan perkara ini merupakan kejayaan bersama rakyat serta perkhidmatan awam yang teguh berdiri mendukung kerajaan pilihan rakyat.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan baharu di Sabah juga dapat membawa negeri ini ke tahap lebih baik. Sebagai penjawat awam, kita harus memberikan kerjasama erat agar agenda untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dapat dipenuhi.

“Baru-baru ini terdapat dakwaan kemungkinan sabotaj berlaku dalam pentadbiran awam. Justeru, saya telah mengarahkan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan untuk menjalankan siasatan terhadap sebarang kemungkinan tindakan khianat bertujuan untuk menjejaskan pentadbiran kerajaan semasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua penjawat awam untuk melaporkan sebarang pelakuan khianat kepada Ketua Jabatan masing-masing.

Tegas beliau lagi, tidak ada sebarang tolak ansur dalam perkara itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku tanpa rasa takut atau memihak (fear or favour).

“Saya memberikan jaminan bahawa perkhidmatan awam akan sentiasa menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan serta terus mendukung kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik,” katanya. – Oleh Sitti Nor Azizah Talata/SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan