Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pemimpin DAP dibidas kaitkan Oktoberfest dengan Pesta Kaamatan

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin.

 

SANDAKAN: Pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri ini mempersoalkan motif pemimpin DAP yang cuba mengaitkan pesta arak Oktoberfest dengan Pesta Kaamatan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin, berkata pesta arak itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan Pesta Kaamatan yang diiktiraf sebagai perayaan rasmi dengan dua hari cuti umum di Sabah.

Katanya, pengharaman minuman keras dalam perayaan Pesta Kaamatan tidak pernah timbul kerana tahap persefahaman dan penerimaan serta penghormatan antara rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya yang tinggi di negeri ini.

“Motif Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin membuat kenyataan itu berunsur politik untuk memburukkan kerajaan BN.

“Ada perkara tidak patut dipolitikkan dan satu daripadanya adalah menyatakan sesuatu yang akan menindas fabrik sosial masyarakat kita,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Foong Hin sebelum ini dilapor mempersoalkan Pesta Kaamatan yang disambut rakyat Sabah jika diharamkan susulan pembatalan pesta arak di Kuala Lumpur.

Beliau dipetik berkata, perayaan budaya seperti Pesta Kaamatan di Sabah yang menggunakan arak daripada beras mungkin diharamkan kelak kerana radikalisasi agama.

Mengulas lanjut, Donald berkata, DAP berhak mengkritik mengenai keputusan pihak berkuasa tidak membenarkan pesta arak itu, namun tidak seharusnya mengaitkan Sabah.

“Sabah ada kerajaan sendiri yang melindungi negeri ini daripada semua elemen yang menjejaskan keharmonian sedia ada dalam kalangan rakyat.

“Kita seharusnya menghargai keamanan, kestabilan dan keharmonian yang wujud di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, PAS Sabah memberi amaran kepada DAP agar tidak mengheret perayaan Pesta Kaamatan menyamai Oktoberfest dan menyifatkan ia hujah dangkal serta terdesak kerana mahu pesta arak diteruskan.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Zulzaim Hilmee Abidin, berkata masyarakat Muslim dari suku kaum Kadazandusun Murut kini tidak mempunyai masalah untuk meraikan Pesta Kaamatan mengikut cara sewajarnya bagi memupuk silaturahim persaudaraan, toleransi dan tradisi yang menjadi budaya turun temurun.

“Budaya pengaruh tidak sihat, provokasi dan tidak bermoral yang dibawa DAP ke negeri ini perlu disingkirkan kerana ia cuma menggugat kesejahteraan dan perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan