Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pemimpin BN Sabah turun padang tak bermusim

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Datuk Seri Musa Aman pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Begandang Beaufort. – Foto Malai Rosmah Tuah

BEAUFORT: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah bekerja sepanjang masa dan turun padang berjumpa rakyat tanpa mengira musim, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata beliau serta pemimpin negeri termasuk anggota Kabinet kerajaan pimpinannya bekerja dan turun padang berjumpa rakyat sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

“Kami pemimpin di Sabah termasuk menteri, pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa turun padang berjumpa rakyat dan minta taklimat pembangunan daripada pegawai daerah.

“Kita mahu tahu perkembangan pelaksanaan projek pembangunan di sesuatu daerah terbabit, saya bukan ketua menteri atau pemimpin yang duduk di pejabat saja.

“Kami sanggup bersama rakyat untuk memastikan mereka dapat pembelaan, kita sedar apabila dipilih oleh rakyat, bukan satu keistimewaan bahkan amanah dan tanggungjawab,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Begandang Beaufort di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.

Sementara itu, Isnin berkata, pimpinan serta ahli UMNO Beaufort akan bekerja keras bagi memastikan BN merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias daripada pembangkang.

Katanya, jentera BN daripada pelbagai peringkat juga sudah memulakan gerak kerja memastikan BN mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort serta DUN Kuala Penyu.

“Kita berjanji memastikan BN meraih kemenangan di tiga kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum akan datang dengan sokongan pimpinan serta ahli parti,” katanya.

Kerusi DUN Klias ketika ini disandang oleh Datuk Lajim Ukin (Parti Harapan Sabah). – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan