Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,741

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pemilik Kapal, 26 Kru Diculik Di Perairan Sabah

3:07pm 28/09/2016 Pak Roshan 12541 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

KOTA KINABALU – Sekumpulan lelaki bersenjata menculik seorang pemilik kapal pukat tunda warga tempatan dan merompak anak-anak kapalnya berhampiran perairan Pulau Gaya, Semporna sebelum melakukan satu lagi rompakan di sebuah kapal nelayan di perairan Tungku, Lahad Datu malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata Ruslan Sarapin, 39, diculik enam lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 26 lagi anak kapalnya di perairan berkenaan kira-kira 9.30 malam.

“Ketika kejadian, kapal nelayan mangsa didatangi sebuah bot laju dinaiki enam lelaki yang antaranya bersenjatakan pistol M14 dan M16.

“Empat suspek kemudian menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum menculik mangsa serta melarikan semua dokumen, barangan peribadi, telefon bimbit milik anak-anak kapal berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati 25 anak kapal berkenaan bukan warganegara Malaysia dan seorang lagi adalah rakyat tempatan.

Abdul Rashid berkata kumpulan lelaki bersenjata api sama kemudian merompak sebuah lagi kapal nelayan yang dinaiki 19 anak kapal di perairan Tungku, Lahad Datu.

Beliau berkata dalam kejadian 10.05 malam itu, kapal berkenaan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan tersebut telah didatangi sebuah bot laju yang dinaiki tujuh lelaki.

“Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjata api menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum melarikan enjin sangkut, beras, minyak masak, pakaian, telefon bimbit dan wang tunai RM300 milik anak kapal.

“Suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri menuju ke perairan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah berkenaan adalah suspek yang sama menculik pemilik kapal tunda di Semporna.

Abdul Rashid berkata jarak kedua-dua lokasi kejadian adalah 5 batu nautika dan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot laju.

Beliau berkata ketika kejadian, kedua-dua kapal berkenaan beroperasi dalam kawasan arahan perintah berkurung dan tidak mempunyai permit pengecualian perintah berkurung daripada Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing.

“Kapal berkenaan juga tidak dilengkapi sistem pengesanan Automatic Identification System (AIS) dan sebarang alat komunikasi yang disarankan oleh pihak berkuasa,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan