Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pemerintah Zalim Kuat Dengan Rakyat Yang Zalim

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ada 2 model tirani atau kediktakoran disebutkan dalam Al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh Muhammad Al-Ghazali dalam Kaifa Nata’amal Ma’al Quran.

2 model itu adalah Firaun dan Qarun. Kalau Qarun, diktaktornya adalah daripada sudut ekonominya, maka Firaun adalah pada sudut kekuasaan politik.

Beliau menyatakan bahawa sebagai diktaktor politik, kita mendapati bahawa Firaun bukan sekadar mahu memerintah insan itu dari aspek zahir semata-mata, tetapi dia juga mahu memerintah dan menguasai roh serta dhomir insan itu.

Kita boleh meneliti beberapa ciri yang ada pada Firaun sebagai pemerintah diktaktor yang cuba mahu menguasai dan memonopoli jiwa rakyatnya sehingga akhirnya membuatkan mereka tunduk patuh kepadanya walaupun pada perkara yang salah.

 

Beberapa Ciri Pemimpin Tirani

1) Kepunyaan awam dianggap miliknya

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata : Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku, maka apakah kamu tidak melihat (nya)?” [Az-Zukhruf : 51]

Bumi Mesir ternyata bukanlah kepunyaannya. Ia adalah hak milik Allah, dipinjamkan untuk dijaga dan dimakmurkan bersama oleh dia dan rakyat-rakyatnya. Tugasnya sebagai pemimpin hanyalah menjadi orang yang menguruskan bumi itu dan rakyat di atasnya. Ia sama sekali bukanlah pemilik mutlak bumi itu.

Sikap sebegini lebih parah apabila dia menyebutkan sungai-sungai mengalir di bawahnya. Memang ada beberapa tafsiran terhadap ‘di bawahku’ itu. Dalam Tafsir Al-Alusi, beliau menyebutkan maksud ‘sungai-sungai mengalir di bawahku’ adalah sungai-sungai mengalir menurut arahanku yakni Firaun.[1]

 

2) Menjatuhkan kedudukan orang lain agar dirinya terlihat lebih baik

“Bukankah aku lebih baik dari orang yang hina ini dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?” [Az-Zukhruf : 52]

Firaun di sini setelah menyatakan pemilikan dan penguasaan ke atas hak awam, dia cuba pula untuk menjatuhkan kredibiliti orang yang berhujah dengan kebenaran terhadap dirinya agar dia tidak dilihat sebagai orang yang salah, bahkan orang yang berhujah dengan kebenaran itu pula yang dilihat sebagai pesalah dan hina.

Wala yakadu yubin – yakni hampir-hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya). Kenapa Firaun mengatakan sedemikian kepada Musa?

“Boleh jadi Firaun mengatakan hal itu kerana dia mengetahui keadaan Musa sebelum Allah mengutuskannya sebagai Rasul ketikamana baginda berada di rumah Firaun. Dia sebutkan hal itu untuk mengingatkan manusia tentang keadaan (Musa) dahulu.”[2]

Pastilah apabila manusia mengetahui tentang keadaan Musa ini, sedikit sebanyak memberikan persepsi negatif dan kemungkinan untuk mereka tidak bersama dakwah Musa.

Dalam tafsir Ar-Razi disebutkan 2 sudut sebab Firaun mengaibkan Musa ini :

“Pertama : Yang Firaun maksudkan dengan wala yakadu yubin adalah sebagai hujah untuk membuktikan kebenaran dirinya (yang menyatakan dirinya lebih baik), bukanlah dia benar-benar maksudkan ketidakmampuan Musa untuk bercakap.

Kedua : Firaun mengaibkannya dengan apa yang pernah berlaku terhadapnya dahulu. Ini kerana Musa pernah berada di sisi Firaun untuk tempoh yang lama, dan pada lisannya itu ada gagap, lalu Firaun pun menisbahkan diri Musa itu dengan apa yang pernah baginda alami dahulu ketika bersamanya sedangkan dia tidak mengetahui bahawa Allah telah menghilangkan aib itu daripada Musa.”[3]

 

3) Membuatkan rakyatnya tunduk kepadanya

“Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq.”[Az-Zukhruf : 54]

Menggunakan apa saja jalan, pemerintah diktaktor akan berusaha memadamkan kebangkitan prinsip kebenaran dalam masyarakat sekiranya prinsip itu mendatangkan kerugian atau mengganggu peluang peribadinya.

Sayyid Qutb memberikan komentar yang menarik berkaitan ayat ini dengan mengatakan :

“Para taghut menakut-nakutkan rakyat awam adalah suatu perkara tidak pelik. Mereka pertamanya akan menghalang rakyat awam dari semua jalan untuk mendapatkan pengetahuan, menyekat mereka dari semua hakikat kebenaran sehingga akhirnya mereka itu melupakannya, tidak kembali mencarinya lagi. Dia juga mencampakkan pada rasa takut dalam diri mereka itu dengan kesan-kesan yang mereka kehendaki sehingga kesan yang direkacipta ini menjadi serasi dalam diri mereka itu. Hal itu menjadikan dia lebih mudah menguasai mereka, lebih lunak dalam memandu mereka itu, sehingga mereka itu boleh bersamanya ke kanan atau ke kiri dengan keadaan tenang !”[4]

 

Penutup : Tadabbur Al-Quran Dalam Memelihara Eksistensi Ummah

Ada banyak bahagian Al-Quran yang menceritakan tentang perjuangan Nabi Musa melawan ketiranian dan kediktaktoran Firaun ini.

Dalam banyak ayat tersebut Allah akan menutupnya dengan menyebutkan kaitannya untuk orang terkemudian. Misalannya dalam surah Az-Zukhruf yang kita teliti sebentar tadi, kisah ini ditutup dengan Allah menyebutkan :

“dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang terkemudian.” [Az-Zukhruf : 56]

Apa kaitannya dengan kita?

Sudah pasti ada banyak kaitannya. Sejarah diceritakan dalam Al-Quran bukan bertujuan sebagai penglipurlara atau menyimpan rekod melainkan fungsinya untuk ummat terkemudian mengambil pengajaran daripada sejarah itu lalu membaiki zaman yang sedang dihadapi oleh mereka saat ini.

Bukan untuk semata-mata membaca kisah ini, tetapi kemudiannya kita juga terjebak termasuk sebagaimana ‘qauman fasiqin’ yang telah mengikuti Firaun.

‘Qauman fasiqin’ adalah kediktaktoran yang ada pada rakyat. Diktaktor kerana membutakan dirinya dari menilai, melihat dan menimbang neraca kebenaran dengan adil. Diktaktor kerana membiarkan dirinya dipergunakan oleh sentimen kekuasaan dan material untuk menghalalkan kediktaktoran sang pemerintah.

Rakyat sepatutnya bertindak sebagai salah satu mekanisme semak imbang untuk pemerintah, bukan hanya menuruti dan mengiyakan semua perkara termasuk kezaliman.

Ia barangkali benar sebagaimana telahan Al-Kawakibi dalam Tobai’ul Istibadad iaitulah pemerintah diktaktor boleh wujud kerana adanya juga rakyat yang diktaktor !

Rakyat beginilah yang menjadi tiang pasak kepada pemimpin sebegini.

Marilah semak diri kita masing-masingnya semoga kita bukanlah tiang-tiang itu !


[1] Ruh Al-Maani, Al-Alusi, 13/89

[2] At-Tahrir Wat Tanwir, Ibn Asyur, 25/232

[3] Mafatihul Ghaib, Ar-Razi, 27/637

[4] Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb, 5/3194

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman bin Che Ani)

Komen


Berita Berkaitan