Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,644

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pemeriksaan ketat di Batu-Batu elak PATI lolos

1:00pm 21/09/2016 Pak Roshan 2398 views Mutakhir,Tawau,Tempatan
ANGGOTA polis dan agensi penguat kuasa menempatkan anggota di kawasan Batu-Batu untuk membuat pemeriksaan terhadap aktiviti keluar masuk penumpang bot. - Foto Abdul Rahemang Taiming

ANGGOTA polis dan agensi penguat kuasa menempatkan anggota di kawasan Batu-Batu untuk membuat pemeriksaan terhadap aktiviti keluar masuk penumpang bot. – Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Pihak berkuasa sudah menempatkan anggota bagi membuat pemeriksaan terperinci terhadap semua individu yang tiba dengan bot di kawasan Batu-Batu, dekat sini, mulai hari ini.

Langkah itu bagi memantau lebih teliti proses keluar masuk penumpang bot, terutama memastikan tiada aktiviti penyeludupan manusia dan barangan bersubsidi, khususnya kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia.

Ia susulan laporan sebuah program televisyen di Indonesia yang mendakwa kawasan Batu-Batu berhampiran Pasar Besar serta Pusat Kuarantin, Kastam dan Imigresen (CIQ) Tawau, antara lokasi pendaratan ratusan PATI dari negara jiran itu setiap hari.

Tinjauan BH mendapati, anggota polis dan agensi seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat pemeriksaan dokumen serta barangan dibawa penumpang di daratan serta di dalam bot.

Penduduk Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik, Taslim Maarufi, 59, mengalu-alukan langkah polis membuat pemeriksaan bagi memantau aktiviti serta pergerakan keluar masuk di kawasan Batu-Batu.

“Pemeriksaan teliti di kawasan ini membolehkan pihak berkuasa memastikan hanya mereka yang ada dokumen sah boleh masuk. Ia juga dapat meningkatkan tahap keselamatan di perairan dan kawasan pendaratan,” katanya.

Penduduk Kampung Mentadak Baru di Pulau Sebatik, Ambi Sulaiman, 60, berharap pihak berkuasa meletakkan anggota secara tetap sekali gus memastikan aktiviti keluar masuk orang ramai di kawasan berkenaan lebih teratur.

“Kalau ada dokumen dan masuk atau keluar secara sah, tiada apa perlu dibimbangkan,” katanya.

Beberapa hari lalu, beberapa portal berkongsi pautan serta rakaman sebuah program televisyen berbentuk siasatan di Indonesia yang mendedahkan bagaimana ratusan PATI mendarat di daerah ini, setiap hari.

Wartawan Indonesia itu juga menyamar sebagai tenaga kerja Indonesia (TKI) untuk masuk secara haram ke Malaysia melalui Tawau, selain menyelongkar bagaimana perjalanan PATI dari negara jiran itu dipermudahkan dengan memberi rasuah antara RM50 hingga RM100 kepada pihak berkuasa negara ini. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan