Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,760

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pemecatan Muhyiddin, Mukhriz untuk elak masalah lebih besar

3:47pm 26/06/2016 Pak Roshan 432 views Mutakhir,Politik
TAN Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

TAN Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

KOTA KINABALU: Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dibuat kerana bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Kedah itu memudaratkan parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata jika tindakan drastik melalui pemecatan terhadap mereka tidak diambil, UMNO akan berdepan masalah lebih besar pada masa depan.

Beliau berkata, kredibiliti UMNO sebagai parti yang begitu lama memerintah negara ini bukanlah bergantung kepada seorang dua pemimpin, sebaliknya kesepaduan semua pihak untuk memastikan ia terus kukuh.

“Sebab itu dengan hati yang amat berat, kita mengambil keputusan memecat Muhyiddin dan Mukhriz. Bukan tidak hargai pengorbanan mereka sebelum ini, itu tercatat dalam sejarah, malah gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) masih terpampang di pejabat Pemuda UMNO kerana beliau pernah jadi Ketua Pemuda.

“Namun, realitinya buat masa ini, mereka (Muhyiddin dan Mukhriz) memudaratkan parti serta jika tidak ditangani (dipecat), kita akan berdepan masalah lebih besar.

“Jadi, lebih baik kita berdepan masalah ini (isu pemecatan) sekarang sementara menunggu Pilihan Raya Umum,” katanya selepas majlis penyerahan kuih raya kepada anggota bomba dan bersahur di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, di sini, awal pagi tadi.

Kelmarin, Mesyuarat MT UMNO sebulat suara memecat Muhyiddin dan Mukhriz, manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahlian sehingga Jawatankuasa Disiplin menyiapkan laporannya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau yakin ahli UMNO serta rakyat akhirnya dapat menghargai keputusan pemecatan itu kerana ia demi kebaikan parti untuk jangka panjang.

“Apabila MT buat keputusan ini, tidak seorang pun senyum… kita juga faham Muhyiddin rapat dengan kita, tetapi akhirnya kepentingan parti mengatasi semua perkara lain,” katanya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan