Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pembunuhan Bernard Then Oleh Penculik Menggemparkan Dan Terkutuk

11:39am 23/12/2015 Pak Roshan 438 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

benard-600x366

KOTA KINABALU : Pembunuhan kejam mangsa culik Bernard Then Ted Fen, 39, yang dipenggal kepalanya oleh kumpulan militan bukan sahaja menggemparkan negara, malah dikutuk pelbagai pihak termasuk negara asing.

Kejadian yang tidak berperikemanusiaan itu juga benar-benar mengejutkan penduduk di Sabah khasnya yang kini bimbang akan tahap keselamatan mereka dengan ancaman penjenayah rentas sempadan.

Sebelum ini, seorang anggota Polis Marin, Konstabel Zakia Aliep dilarikan sekumpulan lapan lelaki lengkap bersenjata api dalam satu serangan hendap di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai 2014.

Bagaimanapun, nasib Zakia lebih baik apabila beliau dibebaskan pada Mac lepas oleh pasukan keselamatan melalui rundingan yang panjang kerana melibatkan nyawa.

Mengimbas kembali kronologi penculikan Then, konsultan berasal dari Sarawak dan bertugas di Kuala Lumpur itu diculik sekumpulan empat lelaki bersenjata di Restoran Makanan Laut Ocean King yang terletak di pesisir pinggir laut di Jalan Bokara, Pasir Putih, kira-kira tiga kilometer dari bandar Sandakan pada 7.45 malam, 14 Mei lepas bersama pengurus restoran itu, Thien Nyuk Fuk, 50.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata Then yang sedang menjamu selera di restoran itu diheret sekumpulan lelaki bersenjata menaiki sebuah bot.

Anggota keluarga kedua-dua mangsa culik berkenaan telah menerima panggilan telefon daripada pihak yang mendakwa menculik Thien dan Then serta meminta wang tebusan sebanyak RM60 juta bagi melepaskan kedua-dua mereka.

Susulan itu, pihak berkuasa mengadakan rundingan dengan kumpulan penculik berkenaan dan meminta mereka membebaskan kedua-dua mangsa tanpa bayaran dan atas pertimbangan kemanusiaan.

Selepas beberapa siri rundingan dibuat, kumpulan penculik bersetuju untuk menurunkan tuntutan wang tebusan sehingga lebih 50 peratus, namun hampir sebulan selepas itu, mereka mengugut untuk memenggal kepala mangsa sekiranya wang tebusan tidak dibayar.

Pada 8 Nov lepas, kumpulan penculik tersebut bertindak melepaskan Thien yang menghidap kencing manis ke pangkuan keluarganya di Sandakan dari Jolo, Selatan Filipina.

Bagaimanapun, mereka tidak membebaskan Then dan pada 17 Nov, media Filipina melaporkan bahawa beliau dipercayai telah dipenggal kumpulan penculik ketika bertempur dengan anggota keselamatan Filipina di sebuah kawasan terpencil di selatan negara itu.

Media itu turut melaporkan bahawa satu kepala dan badan ditemukan terpisah sejauh 30 kilometer dan dijumpai pihak berkuasa Filipina.

Pada 22 Disember pihak berkuasa Filipina telah mengesahkan kepala yang ditemukan di selatan Pulau Jolo itu adalah milik tebusan Malaysia yang dipenggal, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur mengutuk sekeras-kerasnya tragedi itu dan memberi jaminan pihak berkuasa Filipina akan terus memburu pelaku jenayah itu sehingga mereka dibawa ke muka pengadilan.

Berikutan kejadian itu, pihak anggota keselamatan Malaysia di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) meningkatkan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pencerobohan di perairan pantai timur Sabah.

Perintah berkurung yang sudah memasuki fasa ke-33 terus dilanjutkan sehingga 27 Dis ini, selain kemudahan pangkalan laut (Sea Basing) yang pertama di dunia iaitu penempatan aset ketenteraan di tengah lautan.

Sistem yang dikenali sebagai Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) dan Pangkalan Laut Tun Azizan (PL TAZ) yang masing-masing beroperasi pada Julai dan Mei lepas dilengkapi dengan peralatan komunikasi dan kamera litar tertutup (CCTV).

Kedua-duanya turut dilengkapi dengan keupayaan radar jenis CSS 1206 yang mampu mengesan sasaran permukaan sejauh 20km dan akan ditambah baik dengan pemasangan Radar CSS AESA Spexer 2000 kelak.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan